Kpah Sherman tidak anggap ketiadaan Yazan di pertahanan Selangor satu kelebihan besar

542

Penyerang Terengganu FC, Kpah Sherman tidak melihat ketiadaan tonggak utama Selangor FC, Yazan Al-Arab sebagai satu kelebihan besar buat pasukannya pada perlawanan separuh akhir pertama menentang Selangor FC.

Yazan dikatakan bakal terlepas aksi kali ini bagi memenuhi tugasan negaranya, Jordan yang bakal menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Sepanyol.


Beliau yang tidak mengetahui tentang perkara tersebut percaya rakan sepasukannya akan terus memberikan yang terbaik bagi memastikan mereka dapat memperoleh kemenangan yang diinginkan.

“Saya tidak tahu perkara tersebut, samada beliau bermain atau tidak kami akan tetap kekal bermain dengan baik.

Beliau adalah seorang pemain yang bagus, ia adalah kehilangan buat Selangor tetapi kami tidak akan pandang perkara ini mudah dan terus bermain seperti biasa,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Sherman yang kini muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan tujuh gol menganggap Selangor sebagai sebuah lawan yang kuat dan tidak boleh dipandang mudah.

Kesemua pemain termasuk Sherman perlu terus menyiapkan mental mereka bagi menghadapi cabaran yang kuat daripada para pemain Selangor.

“Selangor adalah semua pasukan yang besar dan baik, mereka bertambah baik di bawah kendalian jurulatih baru.

Tetapi Terengganu lebih baik, 14 perlawanan berterusan dan kami ingin teruskan momentum kemenangan ini, tidak kisah siapa yang jaringkan gol.”

Sherman akan terus berusaha memberikan yang terbaik dalam usaha untuk terus merealisasikan impian Terengganu untuk mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia tahun ini selepas gagal berbuat demikian pada musim lepas.

Mereka perlu mencari sebanyak gol yang mampu sebagai bekalan terbaik sebelum menghadapi aksi kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 21 November ini.

“Saya ingin menang pertama sekali kerana ia penting, selepas itu baru saya akan memberi fokus dalam menambah jaringan.”