Revolusi terbaru Selangor MAC, usaha kekalkan dominasi MPFL guna tenaga baru  

358

Juara bertahan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL), Selangor MAC kini dilihat sedang rancak merencana perubahan besar buat pasukan tersebut.

Mereka tampak seperti akan melakukan rombakan besar-besaran bagi menghasilkan sebuah pasukan yang jauh lebih hebat untuk saingan musim depan.


Langkah pertama adalah dengan kemasukan ketua jurulatih baru bagi menggantikan tempat yang sekarang tidak dipegang oleh mana-mana individu.

Berdasarkan khabar angin dan sumber yang boleh dipercayai, nama yang disebut adalah Edgar Baldasso dari Brazil.

Baldasso merupakan seorang jurulatih muda berpengalaman yang sebelum ini melatih pasukan besar di Brazil iaitu Carlos Barbosa Futsal.

Sepanjang menjadi jurulatih kelab tersebut, Baldasso berjaya meraih beberapa gelaran termasuk menjuarai saingan Copa Libertadores pada tahun 2019 yang dilangsungkan di Argentina serta pada edisi 2018 yang bertempat di Brazil.

Kejayaan terakhir beliau adalah pada tahun 2020 sewaktu membimbing kelab tersebut menjuarai saingan Campeonato Gaucho de Futsal.

Pencapaian-pencapaian ini menunjukkan bahawa Baldasso boleh dianggap sebagai seorang calon terbaik untuk menggalas tugas selaku ketua jurulatih.

Selain jurulatih, Selangor MAC juga telah mengesahkan kehadiran beberapa muka baru pasukan dalam tempoh terdekat.

Hal ini dilihat menerusi hantaran yang telah dikeluarkan di media sosial rasmi pasukan tersebut baru-baru ini.

Berdasarkan petunjuk yang diberikan, tiga orang pemain tersebut merupakan pemain yang berada dalam skuad B-20 negara di bawah kendalian Chiew Chun Yong pada tahun 2017 yang lalu.

Pada masa yang sama, dua daripada pemain yang bakal dibawa itu merupakan anak jati Selangor mengikut kepada ‘hint’ tambahan yang diberikan.

Antara nama yang dilihat bertepatan dengan ciri ini adalah ketua pasukan skuad B-20 pada ketika itu, Aidil Shahril yang beraksi bersama pasukan Selangor TOT United pada saingan MPFL musim ini.

Aidil yang kini berumur 25 tahun merupakan salah seorang pemain yang turut dipanggil untuk mewakili skuad negara di Sukan SEA 2021 dan Piala AFF 2022 yang telah berlangsung pada awal tahun.

Seorang lagi pemain yang berkemungkinan besar dibawa masuk adalah Amirul Sugito yang juga beraksi bersama pasukan Selangor TOT United bagi musim 2022.

Desas-desus ini dilihat tidak mustahil tatkala mereka juga termasuk dalam senarai pemain yang telah dilepaskan oleh pasukan Selangor TOT pada beberapa hari yang lalu.

Kedua-dua pemain ini berjaya membantu Selangor TOT untuk meraih kedudukan ketiga di dalam saingan Piala Futsal Malaysia 2022 serta kejohanan jemputan Piala Antarabangsa MNC yang berlangsung di Indonesia pada September lalu.

Selain daripada pemain-pemain ini, dijangka akan ada lebih banyak tenaga muda yang bakal dimasukkan untuk memperkuat pasukan selepas mereka sah kehilangan tujuh pemain utama yang baru sahaja dilepaskan.

Kehadiran pemain muda ini sesuai dengan filosofi Baldasso yang terkenal sebagai seorang jurulatih yang gemar menggunakan tenaga muda.

Beliau memiliki pengalaman yang luas dalam melatih pemain-pemain di peringkat usia muda dan pernah menjadi pembantu buat jurulatih bernama besar di dalam dunia futsal seperti Paulo Mussalem dan Marquinhos Xavier.

Semoga dengan transformasi yang bakal dilakukan ini dapat terus menjulang Selangor MAC untuk terus mendominasi arena futsal di Malaysia.

Tambahan pula, kehadiran pemain berpengalaman di dalam pasukan seperti Khairul Effendy dan Fariq Muhd akan membantu melengkapkan pasukan ini.

Semestinya mereka ingin mengekalkan kecemerlangan yang telah diraih selama ini meskipun bakal berhadapan dengan cabaran yang lebih besar selepas ini dari kelab seperti Pahang Rangers dan Johor Darul Ta’zim.