Reunion skuad treble musim 2007?
Setelah lama berteka-teki, masa depan Nafuzi Zain bersama Terengganu FC akhirnya terjawab juga apabila pengurusan kelab itu mengesahkan bahawa Nafuzi tidak akan kekal bersama pasukan itu pada musim depan.
Walaupun tidak mendedahkan destinasi baru Nafuzi, namun rata-rata peminat sudah menjangkakan pengendali berusia 44 tahun itu berkemungkinan besar akan menyertai Kedah Darul Aman FC (KDA).
Malah apa yang menguatkan lagi khabar angin itu apabila bekas ketua jurulatih lagenda KDA, Azraai Khor Abdullah turut memuat naik foto Nafuzi memakai jersi KDA dengan kapsyen ‘Selamat Datang’ sekaligus memberi bayangan beliau akan ke Darul Aman.
Persoalannya kini, sekiranya benar Nafuzi akan ke KDA musim depan, siapakah yang akan dibawanya bersama ke Kedah nanti, atau hanya beliau seorang sahaja.
Ketika ini Nafuzi yang mengendalikan skuad Sang Penyu dibantu oleh Hairuddin Omar yang merupakan penolong ketua jurulatih dan baru-baru ini ketika latihan pasukan itu menjelang perlawanan separuh akhir Piala Malaysia, kelihatan Hairuddin mula mengendalikan sesi latihan sambil diperhatikan oleh Nafuzi.
Melihat pada situasi itu, tidak keterlaluan sekiranya hendak Hairuddin berkemungkinan besar akan kekal di Terengganu untuk musim depan kekal sebagai penolong ketua jurulatih.
Dalam pada itu, ketua jurulatih interim (sementara) KDA iaitu Victor Andrag juga berkemungkinan besar akan kekal, oleh itu beliau pasti akan bekerja di bawah Nafuzi.
Ia bukan sesuatu yang baru kerana Nafuzi dan Victor pernah menjadi rakan sepasukan ketika sama-sama menyarung jersi Hijau Kuning pada tahun 2007 yang mana ketika itu Sang Kenari berjaya mencipta kejayaan merangkul tiga piala pada musim itu.
Oleh itu, tiada masalah untuk kedua-dua mereka ini untuk mendapatkan keserasian apabila bekerjasama nanti.
Sementara itu, semua sedia maklum dengan penstrukturan liga pada musim hadapan oleh Malaysian Football League (MFL), setiap pasukan Liga Super perlu mempunyai satu lagi skuad untuk saingan Liga Simpanan yang mana ia dikhaskan kepada pemain B-23 dengan tiga kuota pemain lebih usia dan import.
Berikutan itu, KDA perlu mencari seorang jurulatih yang mampu menerapkan falsafah ‘Nafuziball’ supaya dapat kesinambungan apabila pemain yang beraksi di Liga Simpanan diserap ke skuad utama.
Namun sehingga kini masih tiada calon yang diperkatakan akan menggalas tanggungjawab itu, namun lagenda KDA, Nelson San Martin dalam kenyataan di laman sosial Facebook miliknya secara terbuka menawarkan dirinya untuk bersama KDA pada musim depan.
Dalam kenyataannya juga mendedahkan bahawa beliau sudah pun menghubungi pengurusan KDA menyatakan minat kembali ke Alor Setar untuk menyumbang kepada bola sepak Kedah.
Malah beliau juga berkata ‘Saya sentiasa bersedia kembali ke rumah saya’, merujuk kepada bekas pasukannya KDA.
Menariknya, Nelson juga merupakan rakan sepasukan Victor dan Nafuzi pada tahun 2007 dan jika pengurusan KDA bersetuju membawa ‘pulang’ Nelson, ia akan menyaksikan tiga bekas rakan sepasukan kembali bersama.
Pada masa sama, seorang lagi bekas pemain KDA iaitu Khyril Muhymeen yang juga merupakan bekas rakan sepasukan pada musim 2007 juga telah memberi bayangan akan bersara sebagai pemain bola sepak profesional apabila PJ City FC mengambil keputusan untuk menarik diri dari Liga Super musim depan.
Beliau turut berkata akan menceburi bidang lain sekiranya ambil keputusan untuk bersara, namun tidak memaklumkan bidang apa yang akan diceburinya itu nanti.
Namun jika beliau akan menceburi bidang kejurulatihan, mungkin Khyril kembali menabur bakti kepada bekas pasukannya samada bersama skuad Liga Simpanan, Piala Presiden atau skuad Piala Belia.
Pengurusan KDA kini dilihat sudah pun mula membuat perancangan untuk musim depan apabila dikatakan sudah melanjutkan kontrak beberapa pemain musim ini, termasuk sudah mengesahkan akan menyambung kontrak bersama Lotto sebagai penaja pakaian sukan berjumlah RM1 juta.
Tajaan itu bukan kepada skuad Liga Super sahaja, tetapi juga untuk skuad Liga Simpanan, Piala Presiden, Piala Belia, B-17 dan B-14.