Nafuzi Zain pertahan prestasi anak buah, masalah dalaman bukan punca kekalahan

322

Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain tidak menyalahkan anak buahnya meskipun pasukan tersebut tewas 3-1 di aksi pertama separuh akhir Piala Malaysia di tangan Selangor FC.

Beliau percaya kesemua pemain yang diturunkan telah memberikan aksi terbaik sepertimana yang telah dipamerkan pada perlawanan sebelum ini.


“Malam ini kita tewas sebab kita bolos tiga gol dari ‘set-pieces’, Selangor menggunakan peluang dari kelemahan kita.

Malam ini hanya dibezakan dengan keputusan 3-1, dari segi persembahan sama sahaja dan kita berjaya cipta beberapa peluang, kita ada peluang tapi tidak jaringkan gol dan tewas,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Nafuzi akui sedikit terkejut dengan aksi yang dipamerkan oleh para pemain Selangor pada malam ini yang nyata berbeza dan jauh lebih bertenaga berbanding perlawanan-perlawanan sebelum ini.  

Mereka berjaya memanfaatkan beberapa ‘set-pieces’ untuk mengakhiri perlawanan dengan jurang yang agak besar sebagai bekalan selesa menjelang aksi kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

“Saya sendiri terkejut dengan ‘set-pieces’ kerana sudah beberapa perlawanan kita tidak bolos menerusi keadaan tersebut.

Mungkin kita perlu perbaiki dari segi mempertahankan ‘set-pieces’.”

Namun begitu, Nafuzi tetap optimis bahawa pasukan kendalian beliau akan mampu bangkit pada perlawanan seterusnya.

Kehadiran penonton di gelanggang keramat akan menjadi pembakar semangat untuk pemain skuad Sang Penyu dalam terus menghidupkan peluang mereka untuk layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia tahun ini.

“Sekarang ini kita perlu jaringkan tiga gol untuk layak dan kita tahu bukannya satu perkara yang mudah bertemu dengan Selangor.

Mungkin ada kelebihan bermain di tempat sendiri, jadi kita jangan menyerah kalah dan yakin dengan perkara tersebut.”