Sharul Nazeem serahkan sepenuhnya masa depan bersama Harimau Malaya kepada Kim Pan-gon

451

Pertahanan kental Selangor FC, Sharul Nazeem tidak ingin terlalu berfikir tentang peluangnya untuk dipanggil oleh ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon selepas berjaya menunjukkan aksi menyakinkan pada beberapa perlawanan.

Pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia, Sharul muncul antara pemain menonjol selepas berjaya mengekang asakan bertali arus yang dilancarkan oleh pasukan lawan.


Kecemerlangan tersebut juga telah membantu pemain muda itu muncul selaku antara penjaring gol buat pasukan Selangor pada perlawanan ini.

“Bagi saya benda itu Coach Kim yang akan tentukan, saya sebagai seorang pemain cuma buat yang terbaik di padang.

Kalau saya diberikan peluang berada di dalam skuad kebangsaan, saya akan cuba buat yang terbaik untuk bermain,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Meskipun Yazan Al-Arab tidak dapat beraksi pada perlawanan ini disebabkan oleh panggilan kebangsaan bersama Jordan, ia tidak memberi kesan terlalu besar buat barisan pertahanan Selangor.

Sharul yang diletakkan bersama Richmond Tetteh di bahagian pertahanan tengah berjaya menunjukkan kualiti pertahanan baik sepanjang 90 minit perlawanan.

“Saya tidak kisah bermain dengan sesiapa cuma saya harap agar kami dapat membantu sesama sendiri.

Bagi saya, keyakinan dari pasangan saya akan jadikan saya turut yakin untuk berikan yang terbaik.”

Namun, beliau tidak ingin terlalu selesa dengan kelebihan ini dan bertekad untuk terus memberikan yang terbaik pada aksi kedua yang bakal berlangsung di Terengganu.

Sharul akan terus menjadi tonggak utama yang bakal diharapkan oleh ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe dalam usaha mereka untuk merealisasikan impian layak ke perlawanan akhir.

“Bagi saya, di Terengganu kami tidak boleh terlalu selesa kerana penyokong mereka terlalu ramai dan kita kena fokus dalam padang untuk tetap menjaringkan gol.”