Mukhairi Ajmal tidak tolak untuk berada lebih lama di Selangor FC untuk terus kembangkan potensi

523

Pemain tengah Selangor FC, Mukhairi Ajmal tidak menolak untuk berada lebih lama di kelab ini sekiranya terus diperlukan.

Beliau melihat peluang beraksi di kelab ini sedikit sebanyak telah berjaya membantu dalam mengembangkan potensi beliau sebagai antara pemain muda negara yang semakin menonjol.


“Saya sendiri hendak kekal di Selangor sebab saya banyak perbaiki permainan di sini.

Tidak mustahil saya akan lama di sini dengan Selangor,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Namun, beliau tetap berjaya bahawa masih ada banyak ruang untuk diperbaiki bagi terus meningkat dan meningkat dalam masa terdekat.

Sejak beberapa musim berada di Selangor, Mukhairi berjaya menarik minat jurulatih untuk terus menggunakan khidmat beliau bagi mengemudi bahagian tengah Selangor bersama ketua pasukan, Brendan Gan.

“Saya masih tidak berpuas hati dengan pencapaian saya kerana saya masih melakukan kesilapan di dalam padang.

Saya kena perbaiki untuk kurangkan kesilapan dan teruskan usaha untuk jadi terbaik.”

Pada masa yang sama, Mukhairi juga terus memasang impian untuk dipanggil mewakili negara melihat kepada kualiti persembahan beliau ketika ini.

Terdahulu, Mukhairi merupakan ketua pasukan bagi skuad B-23 negara pada beberapa kejohanan seperti Piala Asia B-23 serta Sukan SEA yang telah berlangsung pada awal tahun ini.

“Itu terpulang pada Coach Kim sebab saya tidak boleh bercakap apa-apa.

Mungkin saya perlu perbaiki, kalau ada rezeki untuk AFF saya akan buat yang terbaik kerana setiap tahun saya simpan harapan untuk wakili pasukan kebangsaan.”

Beliau muncul wira pasukan Selangor pada aksi pertama separuh akhir Piala Malaysia menentang Terenggani FC.

Tiga sepakan sudut beliau berjaya menghasilkan tiga gol yang membawa kemenangan kepada skuad Gergasi Merah sebagai bekalan menjelang aksi kedua di Terengganu.

“Saya gembira kerana kita dapat gunakan peluang ini dan berjaya jaringkan tiga gol.

Coach Tan selalu perbetulkan saya dari segi sepakan percuma dan sudut, saya terkejut bola saya menjadi malam ini dan berhasil mendapat tiga bantuan jaringan malam ini.”