King of Malaya sudah bangkit dan sedia untuk amuk

743

Setelah mengharungi musim Liga Super yang cukup sukar dengan pelbagai konflik, kini pasukan Selangor FC sudah mula memperlihatkan kebangkitan luar biasa dalam kempen Piala Malaysia tahun ini apabila sudah selangkah ke perlawanan akhir.

Kemuncak prestasi Selangor telah disaksikan oleh ribuan peminat Gergasi Merah semalam apabila mereka berjaya menewaskan Terengganu FC 3-1 dalam perlawanan yang cukup menarik pada separuh akhir pertama.


Walaupun mempunyai satu lagi perlawanan iaitu separuh akhir kedua yang akan berlangsung di Gong Badak, Terengganu, namun tidak dapat dinafikan kemasukan ketua jurulatih baru Tan Cheng Hoe telah mengubah 360 darjah pasukan itu.

Tanpa sebarang perubahan pemain baru dek beliau dilantik pada penghujung musim saingan liga, namun impak Cheng Hoe telah mula dapat dilihat apabila beliau berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah selepas sembilan perlawanan.

Dengan menerapkan falsafahnya tersendiri, Cheong Hoe berjaya membentuk sebuah pasukan yang cukup ampuh dengan beberapa pemain sebelum ini yang dilihat tidak mempamerkan prestasi baik kini menjadi sebutan apabila memperlihatkan aksi yang cukup mantap.

Mukhairi Ajmal, Herlison Caion, Hein Htet Aung, Quentin Cheng, Brendan Gan, Harith Haiqal dan beberapa lagi pemain telah mempamerkan aksi yang cukup memukau sepanjang kempen Piala Malaysia ini.

Kebijaksanaan Cheng Hoe dalam mengatur strategi dan menggunakan kepakarannya untuk meletakkan pemain di posisi tepat menyaksikan corak permainan Selangor kini antara yang terbaik.

Sekiranya mereka meneruskan momentum kecemerlangan ini sehingga berjaya layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia, impian mereka untuk ke Asia akan mungkin akan tercapai kerana juara akan mendapat slot ke Piala AFC pada musim depan.

Jika mereka layak ke Piala AFC, mereka akan mengecapi kejayaan berganda yang mana mereka akan memecah rekod baru sebagai pemenang Piala Malaysia terbanyak dengan jumlah 34 kali.

Tindakan pengurusan tertinggi Selangor yang dipimpin oleh Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah membuat rombakan telah membuahkan hasil dan diharap mereka dapat menuruti kehendak Cheng Hoe pada musim hadapan mengenai pemain yang dimahukannya.

Dengan khabar angin mengenai kemasukan tiga pemain berkualiti iaitu Faisal Halim (Terengganu FC), V. Ruventhiran (PJ City FC) dan Khuzaimi Piee (Negeri Sembilan FC) sedang hangat diperkatakan dan jika ia menjadi kenyataan, Selangor pasti akan mendapat tonik tambahan sekaligus tidak mustahil untuk mereka mampu merampas takhta kejuaraan Liga Super daripada juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) musim depan.

Selain tiga pemain dari Liga Super, Selangor juga dikhabarkan akan membawa masuk tiga pemain muda daripada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang menjalani trail di kelab Eropah iaitu Haykal Danish, Rohisham Haikal dan Muhammad Abu Khalil sekiranya ketiga-tiga mereka tidak mendapat tawaran daripada kelab itu.

Dengan kemasukan Cheng Hoe pada September lalu, Selangor kini berada di landasan tepat untuk mengembalikan zaman kegemilangan mereka sekaligus mengekalkan reputasi mereka sebagai King of Malaya.