Hein Htet Aung & Richmond Tetteh Ankrah patut dikekalkan bersama Selangor FC musim depan

507

Baru-baru ini Selangor FC telah menamatkan badi kekalahan di tangan Terengganu FC apabila mereka berjaya tumbangkan gergasi Pantai Timur itu 3-1 dalam perlawanan pertama separuh akhir Piala Malaysia.

Kejayaan itu telah menyaksikan skuad Gergasi Merah meneruskan kecemerlangan mereka dengan sembilan perlawanan tanpa kalah dibawah kendalian ketua jurulatih baru Tan Cheng Hoe.


Menariknya mengenai kejayaan Selangor ketika ini bukan kerana penambahan pemain-pemain baru sebaliknya Cheng Hoe menggunakan pemain sedia ada berikutan beliau mengambil alih pasukan itu pada bulan September lalu.

Lebih membuatkan peminat kagum adalah apabila melihat bagaimana bekas ketua jurulatih kebangsaan itu menggunakan potensi seseorang pemain itu sekaligus memperlihatkan kemampuan sebenar mereka.

Sebelum ini dua pemain import mereka iaitu Hein Htet Aung dan Richmond Tetteh Ankrah dilihat cukup bergelut untuk mempamerkan aksi terbaik mereka ketika di bawah kendalian Michael Feichtenbeiner dan jarang diletakkan dalam kesebelasan utama.

Mungkin faktor usia yang muda menyebabkan mereka tidak mendapat tempat terutamanya pemain dari Vietnam, Hein Htet Aung yang dilihat tidak mempamerkan aksi terbaik sehingga ramai peminat mahu pengurusan Selangor ‘menyalin’ semua pemain import pada musim depan.

Bagaimanapun di bawah kendalian Cheng Hoe, Hein Htet Aung dan Richmond Tetteh Ankrah telah menjadi antara tonggak dan banyak membantu pasukan.

Bukan dua pemain ini sahaja, malah pemain lain seperti Herlison Caion, Mukhairi Ajmal dan beberapa lagi juga telah memperlihatkan peningkatan yang cukup ketara.

Jadi untuk musim depan, kedua-dua pemain import ini perlu terus berada dalam perancangan Selangor berikutan prestasi cemerlang mereka pada musim ini.

Selain itu, kedua-dua pemain ini masih lagi muda iaitu Hein Htet Aung baru berusia 21, manakala Richmond Tetteh Ankrah pula berusia 22 oleh itu ia akan memberi Cheng Hoe lebih ruang untuk membangunkan kedua-dua pemain ini.

Pada masa sama kos atau bayaran gaji kedua-dua pemain ini tidak terlalu tinggi jika hendak dibandingkan dengan pemain import lain termasuk pemain tempatan yang mempunyai nama besar di Liga Malaysia.

Tidak keterlaluan jika hendak mengatakan kedua-dua pemain import ini adalah satu pelaburan yang cukup baik dan bijak kerana Selangor bakal mendapat pulangan pelaburan yang cukup menguntungkan dari segi prestasi dan pencapaian pasukan kelak.

Walaupun tiada sebarang kenyataan rasmi mengenai Selangor membuat persiapan untuk musim depan, namun sudah ada beberapa khabar angin mengenai perpindahan pemain membabitkan Faisal Halim (Terengganu FC), Khuzaimi Piee (Negeri Sembilan FC) dan V. Ruventhiran (PJ City FC) yang dikatakan akan memperkuatkan Selangor pada musim depan.

Apa pun sama-sama kita nantikan perkembangan terbaru dari semasa ke semasa kerana fokus Cheng Hoe ketika ini adalah untuk cuba layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia untuk mencerahkan peluang mereka untuk merebut tiket ke Piala AFC pada musim depan.