Insiden LA Galaxy-Malaysia, bukan kali pertama berlaku tapi sampai bila?
Baru-baru ini, peminat bola sepak tanah air digemparkan dengan perkongsian yang dilakukan oleh seorang pundit bola sepak antarabangsa, Mark Stafford mengenai satu perlawanan persahabatan yang pernah terjadi di antara LA Galaxy menentang pasukan negara.
Pihak pengurusan, jurulatih serta pemain LA Galaxy bahkan penyokong percaya bahawa mereka telah memenangi satu aksi persahabatan menentang Harimau Malaya dengan keputusan 4-1.
Namun, sebenarnya pasukan yang mereka lawan adalah bukan skuad Malaysia yang sebenar tetapi hanyalah pengatur perlawanan yang menyamar sebagai wakil dari negara ini.
Perkara ini mengejutkan ramai pihak yang tertanya-tanya tentang bagaimana perkara ini boleh berlaku tatkala ia melibatkan sebuah kelab besar di Amerika Syarikat dan juga pasukan kebangsaan.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Noor Azman menerusi satu kenyataan yang diberikan nyata terkejut mendengar perkhabaran ini kerana kali terakhir berlaku kes sebegini adalah lebih kurang 10 tahun yang lalu.
Ternyata ini bukan kali pertama wujudnya sebuah kumpulan pengatur perlawanan yang mendakwa diri mereka sebagai Harimau Malaya atau FAM dan menghubungi pasukan-pasukan untuk mengadakan perlawanan persahabatan bagi mengaut keuntungan.
Terdahulu, pada tahun 2009 negara kita pernah digemparkan dengan dua kes pengaturan perlawanan yang sama melibatkan beberapa pasukan dari benua Afrika.
Nama Wilson Raj Perumal, seorang pengatur perlawanan antarabangsa yang pernah mencuri tumpuan pada ketika itu dengan skandal dan kes yang pernah dicatatkan termasuk melibatkan pasukan kebangsaan.
Beliau didapati bersalah sewaktu mengatur sebuah perlawanan di antara Malaysia menentang pasukan Monomotapa United FC yang menyamar sebagai skuad kebangsaan Zimbabwe pada tahun 2009.
Susulan daripada kes tersebut, ramai pemain dan pegawai yang terlibat dengan kejadian tersebut telah digantung oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Ada segelintir daripada mereka dikenakan hukuman sepanjang hayat manakala ada yang hanya untuk beberapa tahun sahaja.
Pada tahun 2014, Wilson membuat kemunculan di sebuah rancangan televisyen dan mengaku telah mengatur sekurang-kurangya 100 perlawanan termasuk pusingan kelayakan Piala Dunia.
Selain itu, pasukan Malaysia juga telah sekali lagi terpalit dengan isu yang serupa pada tahun 2015 kali ini melibatkan Persatuan Bola Sepak Ghana (GFA).
Dipercayai, ada khabar angin yang mengatakan bahawa akan adanya perlawanan dua pusingan di antara Malaysia dan Ghana.
FAM menolak dan mengatakan bahawa mereka tidak pernah menghubungi persatuan negara tersebut untuk adakan sebarang pertemuan.
Insiden demi insiden terus berlaku dan FAM seharusnya mencari langkah yang lebih efektif bagi memastikan perkara sebegini tidak lagi berulang memandangkan ia akan memberi kesan yang buruk kepada pasukan negara serta badan induk bola sepak tersebut sendiri.
Tidak sepatutnya nama baik FAM serta Harimau Malaya terus dicemari oleh tindakan tidak bertanggungjawab yang dilakukan oleh golongan perosak bola sepak seperti ini bagi mencari keuntungan.
Pihak FAM sebelum ini telah memperkenalkan sebuah jawatankuasa intergriti yang diwujudkan pada tahun 2012 untuk mengawal selia kes-kes seperti ini.
Jawatankuasa tersebut merangkumi kerjasama di antara Suruhanjaya Pencegarahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Siapa sebenarnya harus dipersalahkan sekiranya perkara sebegini terjadi lagi dan apakah langkah berjaga-jaga yang telah direncana oleh pihak FAM serta badan lain yang terbabit?
Harap ini adalah kali terakhir kita mendapat tahu berita tergempar seperti ini melibatkan skuad negara dan FAM.