Azam Azih-Baqiuddin tersenarai sebagai ‘bekas pemain Sri Pahang’, tiada pengumuman rasmi dari pengurusan

1,089

Biar betul! Ayam tambatan Sri Pahang FC musim ini, Azam Azih dan Baqiuddin Shamsuddin telah disenarai sebagai ‘bekas pemain’ pasukan Tok Gajah.

Pasukan ‘ex-Pahang’ telah dipilih untuk satu perlawanan pertunjukan menentang pasukan pilihan Dun Pulau Tawar yang telah berlangsung pada 17 November lalu.


Antara nama besar yang turut membarisi pasukan tersebut adalah legenda Pahang, Juzaili Sameon dan Jalaluddin Jaafar.

Menariknya adalah untuk melihat Azam dan Baqiuddin diletakkan sebagai bekas pemain pasukan Sri Pahang walhal tiada pengumuman rasmi telah dibuat oleh mana-mana pihak terutama pengurusan pasukan setakat ini.

Tambahan lagi, tiada sebarang hantaran rasmi yang dapat dilihat di media sosial Sri Pahang seakan tiada perubahan yang berlaku.

Terdahulu, Azam telah dikaitkan dengan perpindahan keluar dari skuad Tok Gajah sejak beberapa musim kebelakangan ini.

Beliau kini rancak dikhabarkan bakal menyertai pasukan Selangor FC untuk berada di bawah bekas ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe bersama beberapa pemain kebangsaan seperti Brendan Gan.

Azam cukup terkenal dengan kemampuannya dalam mengendalikan bahagian tengah pasukan samada untuk Sri Pahang atau skuad negara.

Pemain berusia 27 tahun tersebut juga pernah dikaitkan dengan perpindahan ke kelab gergasi Malaysia, Johor Darul Ta’zim FC sebelum ini.

Selain Azam, nama Baqiuddin turut mencuri tumpuan tatkala pemain tersebut juga berjaya menampilkan persembahan yang cukup baik musim ini meskipun Sri Pahang melalui tahun yang cukup hambar.

Baqiuddin yang banyak beraksi di bahagian sayap telah diturunkan sebanyak 16 perlawanan musim ini dan berjaya mengumpul lima bantuan jaringan.

Tidak dapat dinafikan, kedua-dua pemain ini sudah lama diintai oleh pasukan-pasukan lain dan tidak mustahil jika mereka berpindah melihat kepada keadaan semasa Sri Pahang.

Yang menjadi persoalan, mengapa tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat oleh pihak pasukan untuk sekurang-kurangnya menghargai jasa dan pengorbanan yang pernah dilakukan oleh individu-individu ini?

Kehilangan kedua-dua pemain ini akan menjadi satu kerugian besar buat pasukan Sri Pahang tatkala  mereka sedang mencari kembali rentak kegemilangan yang pernah dicapai satu ketika dahulu.

Walau bagaimanapun, tidak mustahil pasukan ini akan kembali bangkit musim depan dengan semangat baru selepas mereka dilihat telah menyambung kontrak pemain import dari Filipina, Kevin Ingresso.

Akan ada lebih banyak perubahan bakal dilakukan oleh pihak pengurusan untuk memastikan skuad Tok Gajah yang dahulunya gah dapat kembali berada di persada bola sepak Malaysia.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen