Dua nasib berbeza buat orang kuat KL City, apa kesan keputusan PRU-15 untuk bola sepak negara?

1,336

Pilihan Raya Umum ke-15 baru sahaja selesai dan ada beberapa keputusan mengejutkan yang dapat dilihat pada edisi kali ini tatkala ada perubahan dari segi calon dan kawasan mereka bertanding.

Ada beberapa nama ahli politik yang bertanding pada PRU kali ini mempunyai jawatan tinggi bagi persatuan bola sepak negeri serta kelab.


Suka untuk peminat menantikan perubahan-perubahan yang mungkin berlaku dengan keputusan undian yang telah diketahui beberapa jam yang lalu.

Antara yang mencuri tumpuan peminat bola sepak Malaysia adalah melihat kepada keputusan undian di Parlimen Titiwangsa yang melihat Presiden Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad tewas selepas hanya meraih 20,410 undi.

Sebelum ini, Khalid merupakan ahli Parlimen Shah Alam yang telah memegang kerusi tersebut selama tiga dekad.

Lantikan beliau sebagai Menteri Wilayah Persekutuan beberapa tahun lalu telah menyebabkan Khalid turut diangkat sebagai Presiden KLFA pada tahun 2019 menerusi pemilihan yang dilakukan pada kongres kali ke-32 persatuan tersebut.

Semestinya kekalahan di Parlimen Titiwangsa kali ini akan memberi sedikit sebanyak kesan dan menggugat kepada kedudukan Khalid sebagai nama besar KLFA serta antara orang kuat yang sering membantu menaikkan kelab KL City.

Khalid sebelum ini telah menunjukkan sokongan padu kepada pasukan tersebut sehingga mereka berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala AFC sebelum tewas di tangan wakil Oman, Al-Seeb 3-0.

Sejak mengambil alih, beliau juga berjaya membantu pasukan tersebut mencapai beberapa kejayaan termasuk menjuarai saingan Piala Malaysia pada tahun 2021.

Beliau sebelum ini telah beberapa kali menerima gesaan untuk meletakkan jawatannya ekoran daripada beberapa permasalahan yang dihadapi oleh pasukan KL City seperti isu tunggakan gaji serta hak milik Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur sebelum ini.

Nasib yang nyata berbeza buat seorang lagi orang kuat KL City, Datuk Seri Shahidan Kassim yang berjaya untuk terus mempertahankan kerusi beliau di Parlimen Arau meskipun bertanding di atas tiket parti yang lain.

Beliau mudah mengekalkan kerusi yang telah dipegang selama ini selepas meraih undi sebanyak 31,458 dengan majoriti besar 23,216 undi.

Kemenangan ini mungkin akan membantu beliau untuk mengekalkan jawatan semasanya sebagai Presiden KL City selepas baru sahaja dilantik oleh Khalid pada Ogos yang lalu.

Dalam pada itu, seorang lagi tokoh politik yang turut terlibat aktif di dalam bola sepak, Datuk Seri Bung Moktar masih berjaya mengekalkan kedudukan beliau di Parlimen Kinabatangan selepas meraih 16,842 undian dengan majoriti sebanyak 4,330 undi yang dicatatkan.

Beliau yang pada ketika ini memegang jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) dilihat tiada masalah untuk mengekalkan kedudukan tersebut untuk satu tempoh yang lebih panjang selepas ini.

Meskipun sudah bertukar status kepada penswastaan, Sabah FC secara tidak langsung masih dipimpin oleh SAFA dan Bung Moktar dilihat telah berjaya menyokong beberapa perubahan besar buat kelab tersebut pada musim ini.

Ini adalah termasuk dengan pencapaian mereka menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga dan turut berjaya melayakkan diri ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia.

Malam ini (20 November) akan menjadi penentu samada pasukan ini layak ke perlawanan akhir atau tidak bergantung kepada keputusan menentang Johor Darul Ta’zim FC di Stadium Sultan Ibrahim.

Walau bagaimanapun, dengan kemenangan mudah Bung Moktar di Kinabatangan dalam mengekalkan tempat tersebut meskipun terpalit dengan beberapa kontroversi akan membolehkan beliau untuk terus menerajui barisan kepimpinan SAFA untuk beberapa penggal ke depan.

Tidak dapat dinafikan penglibatan ahli politik di dalam bola sepak ada kebaikan serta keburukan, namun besar harapan peminat untuk melihat perkembangan positif sukan tersebut dapat terus dilihat meskipun ada perubahan besar di dalam persekitaran politik negara.

Mereka seharusnya menggunakan kedudukan dan kelebihan yang dimiliki dengan sebaiknya bagi memastikan apa yang dilakukan berlandaskan matlamat sebenar kelab dan persautuan serta tidak hanya memberi keuntungan kepada diri sendiri semata-mata.

Majulah bola sepak untuk negara!