Matt Davies terbuka jika pemain muda dibawa ke Piala AFF, akui masa terbaik untuk peluang sebelum Piala Asia 2024

388

Pertahanan kental Johor Darul Ta’zim FC, Matthew Davies tidak mempunyai sebarang masalah jika ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon ingin memberi peluang kepada pemain muda terutama sekali di saingan Piala AFF tahun ini.

Beliau percaya bahawa Pan-gon lebih mengetahui tentang setiap keputusan yang dilakukannya dalam usaha mempersiapkan lebih ramai pemain yang mampu menggalas tanggungjawab negara di pusingan akhir Piala Asia 2024.


“Saya tidak pasti dan kita perlu melihat kepada pemilihan oleh jurulatih dan saya percaya beliau adalah jurulatih yang baik dan tahu kesan daripada setiap tindakannya.

Mungkin ia akan menjadi masa yang baik untuk membawa pemain muda bagi memberi mereka pengalaman menjelang Piala Asia 2024,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pada masa yang sama, Davies berjaya membantu pasukannya untuk mengatasi Sabah FC di pusingan separuh akhir Piala Malaysia untuk layak sekali lagi ke perlawanan akhir tahun ini.

 Kekebalan Davies berjaya mengekang asakan yang dilakukan oleh pasukan Sabah menerusi pemain seperti Saddil Ramdani dan Amri Yahyah.

“Kami berasa sangat baik kerana berjaya menjalankan tugas dengan baik di SSI selepas berjaya meraih jaringan 1-0 di tempat lawan sebelum ini.

Kami sangat gembira dan sedang memandang jauh untuk beraksi di perlawanan akhir.”

Beliau juga tidak mempunyai sebarang masalah untuk bertemu mana-mana pasukan di perlawanan akhir dan percaya kesemua pemain JDT akan tetap lakukan yang terbaik bagi memastikan kejuaraan menjadi milik mereka.

JDT perlu menantikan sebuah lagi perlawanan separuh akhir di antara Terengganu FC dan Selangor FC yang akan berlangsung pada 21 November ini sebelum mengetahui lawan mereka di perlawanan akhir.

“Saya tidak kisah bertemu siapa yang penting kami dapat terus memberikan fokus buat JDT.

Terengganu atau Selangor akan tetap menjadi lawan yang kuat buat kami tapi kami harap dapat kembali dengan trofi.”

Kejayaan mara ke perlawanan akhir memberikan peluang untuk pasukan JDT meraih empat trofi pada musim ini.

Terdahulu mereka berjaya merangkul tiga kejuaraan utama musim ini iaitu Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super.