Cody Gakpo bantu Belanda mula kempen Piala Dunia 2022 dengan langkah kanan

217

Pemain berdarah kacukan Ghana-Belanda, Cody Gakpo menjadi duri dalam daging buat pasukan lawan apabila jaringan beliau berjaya membantu Belanda menewaskan Senegal 2-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan A sebentar tadi.

Kemenangan bergaya ini menyaksikan pasukan Belanda memulakan kempen Piala Dunia 2022 Qatar dengan langkah kanan sekaligus menyaksikan misi ketua jurulatih Louis Van Gaal berada di landasan tepat untuk membawa pasukannya untuk membalas dendam atas kegagalan mereka menjulang trofi Piala Dunia sebanyak dua kali pada tahun 1974 dan 1978 apabila tewas di perlawanan akhir.


Van Gaal juga dalam misi untuk memperbaiki rekodnya bersama skuad The Oranje yang mana sebelum ini beliau pernah membawa pasukan itu menduduki tempat ketiga pada Piala Dunia 2018 di Rusia.

Dalam perlawanan sebentar tadi, Belanda dan Senegal bermula dengan seimbang pada separuh masa pertama dengan kedua-dua pasukan bertahan dengan baik dan berjaya melakukan serangan tetapi gagal menembusi gawang lawan yang masing-masing dijaga oleh Edouard Mendy dan Andries Noppert.

Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan, namun masuk separuh masa kedua, skuad Lions of Teranga mula melakukan serangan berbahaya, namun berjaya dipatahkan oleh pertahanan lawan.

Anak buah Van Gaal juga terus mengasak kubu lawan dengan gerakan-gerakan cukup menarik dan akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-85 menerusi penyerang muda berdarah campuran Ghana-Belanda, Cody Gakpo menerusi satu tandukan kencang menewaskan penjaga gol.

Davy Klaassen akhirnya memusnahkan harapan Senegal untuk menyamakan kedudukan apabila menjaringkan gol yang cukup menarik pada minit ke-90+9 sekaligus mengesahkan tiga mata penuh buat Belanda.

Kemenangan ini menyaksikan Belanda kini berada di kedudukan kedua Kumpulan A dengan tiga bersama pasukan Ecuador yang turut memperoleh tiga mata hasil kemenangan ke atas Qatar semalam.