Gareth Bale muncul wira buat Wales dari dimalukan skuad muda USA

344

Kapten pasukan Wales, Gareth Bale terus jadi duri dalam daging buat pihak lawan apabila jaringan beliau telah menafikan tiga mata penuh buat pasukan Amerika Syarikat (USA) apabila mereka terikat 1-1 dalam perlawanan kedua Kumpulan B Piala Dunia 2022 Qatar.

Ketika USA sedang berusaha untuk menambah jaringan pada separuh masa kedua untuk memusnahkan baki sisa perjuangan Wales, Bale telah dihadiahkan sepakan penalti selepas beliau dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit ke-81.


Bale tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan itu untuk menyamakan kedudukan selepas USA terlebih dahulu membuka akaun jaringan menerusi penyerang sensasi mereka iaitu Timothy Weah.

Ini bukanlah kali pertama buat pemain berusia 33 tahun itu menjadi wira buat pasukannya kerana baru-baru ini beliau yang telah masuk sebagai pemain gantian telah menjaringkan gol penyamaan buat Los Angeles FC (LAFC) sekaligus membantu kelabnya itu menjulang trofi Piala MLS.

Beliau juga sebelum ini pernah melakukan perkara sama ketika beraksi bersama Real Madrid pada perlawanan akhir UEFA Champions League apabila masuk sebagai pemain gantian dan menjaringkan gol yang cukup memukau untuk memenangi kejuaraan itu buat kali ketiga berturut-turut.

Tidak dapat dinafikan walaupun Bale kini bukan seperti beliau ketika bersama Tottenham Hotspur, namun beliau masih mempunyai ‘magik’ yang mampu mengubah perlawanan dalam sekelip mata sahaja.

Pujian juga harus diberikan kepada Bale juga apabila meletakkan pasukan kebangsaannya sebagai keutamaan di Piala Dunia kali ini berikutan beliau sememangnya terkenal dengan sikapnya sebagai seorang ‘kaki golf’.

Malah ketua jurulatih The Dragons iaitu Rob Page juga telah mengenakan larangan kepada semua pemainnya untuk tidak bermain golf sepanjang kempen Piala Dunia.

Dalam pada itu, disebalik tumpuan kepada Bale, seorang lagi pemain yang menjadi tumpuan adalah penyerang sensasi USA iaitu Timothy Weah.

Bagi yang tidak mengetahui mengenai pemain ini, beliau merupakan anak kepada Presiden Liberia dan juga bekas pemenang anugerah Ballon D’or iaitu George Weah yang sehingga kini menjadi satu-satunya pemain Afrika yang berjaya merangkul anugerah itu.

Weah bukan sahaja dapat merealisasikan impian ayahnya untuk bermain di Piala Dunia, tetapi juga telah berjaya menjaringkan gol pada debutnya di kejohanan berprestij itu.

Pemain berusia 22 tahun itu sebelum ini pernah beraksi bersama New York Redbull, Paris Saint-Germain, Celtic dan kini beraksi bersama Lille dalam Ligue 1.

Walaupun boleh memilih untuk hidup senang berikutan bapanya adalah Presiden Liberia, namun Weah nekad mahu berjaya dengan usaha sendiri.

Dengan usia yang masih muda dan mempunyai potensi besar, tidak mustahil untuk Weah menggegar dunia bola sepak Eropah tidak lama lagi.