Final Piala Malaysia: Selangor kejar impian layak ke Asia, JDT buru sejarah ‘quadruple’
Lawan bagi Johor Darul Ta’zim (JDT) di perlawanan akhir Piala Malaysia akhirnya terjawab selepas Selangor FC berjaya menangkis cabaran Terengganu FC untuk mencatat kemenangan 3-2 secara agregat semalam.
Pertemuan antara kedua-dua pasukan itu dijangka bakal berlangsung hangat berdasarkan sejarah perseteruan antara mereka termasuk dalam kalangan penyokong.
Di atas kertas, kelebihan mungkin berpihak kepada JDT yang dilihat ‘untouchable’ musim ini dengan memenangi Liga Super tanpa sebarang kekalahan serta Piala FA September lalu.
Namun, prestasi yang ditunjukkan oleh Selangor sejak mendapat sentuhan Tan Cheng Hoe tidak boleh dipandang rendah walaupun rekod kemenangan sembilan perlawanan berturut-turutnya tamat.
Mereka juga pastinya bersemangat mahu menamatkan kemarau trofi selepas kali terakhir memenangi kejohanan itu pada 2015.
JDT harus belajar daripada kekalahan perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu kepada pasukan underdog, KL City FC untuk mengelakkan impian mencipta sejarah quadruple tidak kesampaian.
Sekiranya Selangor berjaya menundukkan JDT pada perlawanan akhir nanti, ia seolah-olah memberi isyarat bahawa kerja singkat Cheng Hoe di Selangor sudah mula menunjukkan hasil dan mereka merupakan pencabar serius liga pada musim depan.
Ia juga pastinya bakal mengukir senyuman di bibir peminat yang dilihat begitu kritikal terhadap pasukan pada musim ini.
Yang paling penting adalah, Selangor FC juga akhirnya dapat mengotakan harapan untuk ke Asia kepada para peminat.
Sekiranya JDT berjaya menjulang trofi tersebut, ia boleh dikatakan sebagai isyarat awal bahawa pasukan itu akan terus mendominasi Liga Malaysia untuk musim depan.
Dengan persembahan yang baik dalam AFC Champions League (ACL) serta kejayaan membolot semua trofi musim ini, dapat disimpulkan bahawa tiada lagi pasukan yang mampu mencapai tahap JDT untuk terus melakukan perkara sama musim depan.
Apa yang pasti, perlawanan Sabtu ini boleh menjadi medan untuk kedua-dua ketua jurulatih, Hector Bidoglio dan Cheng Hoe melihat apa yang perlu diperbaiki untuk menghadapi saingan musim depan.
Stadium Nasional Bukit Jalil akan menjadi saksi sama ada sejarah bakal dicipta oleh pasukan Selangor atau JDT.