KL diramal hujan hari ‘final’ Piala Malaysia, PSM boleh siap sedia pinjam kain kanvas dari TMJ untuk jaga padang SNBJ
Pentas akhir Piala Malaysia akan mempertemukan dua gergasi tempatan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) Sabtu ini.
Terdapat kebimbangan mengenai kualiti padang pada perlawanan tersebut kerana sejak beberapa minggu ini, cuaca di Lembah Klang berada dalam keadaan yang tidak menentu.
Menurut laporan Arena Metro, ketua pegawai eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Faidz Sanusi memberi jaminan bahawa pihaknya akan memastikan venue itu bersedia untuk penganjuran acara final tersebut.
Ia termasuklah menjaga kualiti keadaan padang dalam keadaan yang baik supaya perlawanan itu tidak menghadapi masalah.
Pada perlawanan akhir Piala FA antara JDT dan Terengganu FC September lalu, padang di SNBJ dilihat dilitupi oleh kain kanvas bagi menghalang hujan daripada membasahi padang sebelum perlawanan itu.
Pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan bahawa kain kanvas tersebut adalah milik Stadium Larkin yang dipinjamkan oleh baginda.
Berdasarkan ramalan cuaca oleh Jabatan Metereologi Malaysia pada Sabtu ini, beberapa kawasan di Kuala Lumpur akan mengalami ribut petir di sebelah petang.
Ini sudah pasti boleh menjejaskan keadaan padang seperti yang pernah berlaku ketika kelayakan Piala Asia tengah tahun ini, yang menyebabkan negara menjadi bahan ketawa kerana menggunakan penyodok untuk membuang air yang bertakung di permukaan padang.
Mungkin PSM boleh mempertimbangkan untuk meminjam atau menyewa kain kanvas daripada TMJ untuk menjaga kualiti padang pada hari tersebut.
Melihat kepada perlawanan akhir Piala FA tempoh hari, kain kanvas tersebut ternyata berjaya menjaga permukaan padang walaupun hujan turun di sebelah siang.
Awal tahun ini, baginda ada mengumumkan sumbangan kira-kira RM1.4 juta untuk menukar rumput stadium kepada jenis Zeon Zoysia selain turut menaja mesin ‘vertidrain’ bagi memastikan kualiti padang lebih terjamin pada masa akan datang.
Namun proses penukaran rumput dilaporkan hanya akan dilakukan paling awal pada Mac tahun depan.
Selepas ini, SNBJ juga bakal menjadi home bagi Malaysia dalam kejohanan Piala AFF.
Sementara menunggu proses tersebut berlaku, PSM mungkin terpaksa terus meminjam kain kanvas daripada TMJ untuk menjaga kualiti padang.