Pernah belajar di bawah bekas ketua jurulatih Harimau Malaya, Herve Renard mencipta sejarah bersama Arab Saudi!

2,427

Ketua jurulatih Arab Saudi, Herve Renard memulakan karier jurulatihnya bersama SC Draguignan pada tahun 1999 sebelum meninggalkan pasukan itu pada tahun 2001 untuk berhijrah ke negara China untuk menjadi penolong jurulatih kepada rakan senegara, Claude Le Roy untuk kelab Shanghai COSCO.

Le Roy, dari Perancis, merupakan bekas jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia pada tahun 1994 yang mana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melantiknya dengan tugas memastikan skuad Harimau Malaya layak ke Sukan Olimpiik 1996.


Renard bagaimanapun tidak bertahan lama bersama Le Roy apabila meninggalkan kelab dari China itu selepas semusim untuk mengendali Cambridge United di England pada tahun 2004, sebelum kembali ke bumi Asia untuk mengendalikan kelab Song Da Nam Dinh di Vietnam.

Bagaimanapun baru beberapa bulan mengendalikan kelab tersebut, beliau dianggap tidak cukup bagus, dan telah mengundurkan diri untuk menjadi pengendali AS Cherbourg selama dua musim dari 2005 hingga 2007.

Beliau kemudian kembali bekerjasama sekali lagi dengan mentor-nya, Le Roy sebagai penolong jurulatih untuk pasukan kebangsaan Ghana.

Pelbagai cabaran dan dugaan yang dihadapi beliau termasuk tidak dihargai ketika di China dan Vietnam, tapi kini akhirnya menjadi pengendali yang berjaya membawa pasukan yang berada di ranking ke-51 dunia menumbangkan pasukan ketiga terbaik dunia yang juga bekas juara dua kali Piala Dunia.

Arab Saudi telah melakukan kejutan terbesar Piala Dunia 2022 apabila menewaskan Argentina 2-1 dalam perlawanan Kumpulan C sebentar tadi.

Ini juga adalah kekalahan pertama Argentina kepada pasukan dari benua Asia.

Kedatangan Renard dalam skuad kebangsaan Arab Saudi pada 2019 telah memberi nafas baru kepada pasukan itu berikutan beliau datang dengan reputasi yang cukup hebat apabila pernah membawa pasukan kebangsaan Zambia menjuarai Africa Cup of Nations 2012.

Pada tahun 2015 beliau sekali lagi berjaya menjulang trofi tersebut bersama pasukan kebangsaan Ivory Coast sekaligus menjadi pengendali pertama yang berjaya memenangi dua kali Africa Cup of Nations dengan pasukan berbeza.

Kemenangan bersejarah ini sekaligus menebus maruah dua pasukan Asia iaitu Qatar dan Iran yang mana kedua-dua pasukan ini tewas di tangan lawan masing-masing.

Aksi luar biasa ini juga merupakan persembahan terbaik pasukan Arab Saudi selepas 1994 sekaligus menamatkan badi tidak pernah menang dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia sebelum ini.

Pada Piala Dunia 1994 mereka tewas 2-1 di tangan Netherlands; 1998 tewas 1-0 di tangan Denmark; 2002 dibelasah 8-0 oleh Jerman; 2004 seri 2-2 dengan Tunisia dan pada 2018 tewas 5-0 di tangan tuan rumah, Rusia.

Dengan kejayaan ini, Arab Saudi kini berpeluang untuk mengulangi pencapaian terbaik mereka untuk layak ke pusingan 16 pasukan terbaik (pada edisi 1994), sekiranya terus konsisten apabila menentang Poland dan Mexico dalam baki saingan kumpulan.