Kenapa Khalid Jamlus tahu betapa bagusnya bola sepak Tunisia?

1,181

Bagi peminat bola sepak tanah air yang sudah lama mengikuti perkembangan liga tempatan dan juga peminat baru sudah pasti mengenali lagenda bola sepak Malaysia, Khalid Jamlus yang merupakan bekas penyerang prolifik negara satu ketika dahulu, tetapi tahukah anda bahawa pasukan kebangsaan pernah dibimbing oleh ketua jurulatih dari Tunisia?

Beliau adalah Hatem Souissi, seorang jurulatih yang mempunyai karakter yang cukup ‘menarik’ dan akan terus diingati oleh peminat.


Khalid Jamlus merupakan antara pemain yang pernah bermain di bawah kendalian Souissi turut pernah mendedahkan karakter pengendali itu sekiranya beliau dan rakan sepasukan tidak mempamerkan aksi terbaik.

“Kalau kami dekat bilik persalinan selepas perlawanan, nak tahu apa yang akan dikatakan oleh Allan Harris, Bertalan Bicskei dan Hatem Souissi?

Anda bermain seperti t**i, mana bola anda? Anda semua mahu menang atau tidak? Mana maruah anda? Jangan biarkan penyokong anda kecewa dengan cara permainan anda sekarang.

Ayuh bangun dan lawan semula sehingga minit terakhir. Itu ayat jurulatih, bukan saya. Itulah yang saya lalui pada masa lalu,”

katanya kepada sebuah akhbar tempatan.

Selain tegas dengan pemain, beliau juga merupakan seorang jurulatih yang sering menjadi perhatian terutamanya pada tahun 2007 yang mana ketika itu beliau merupakan ketua jurulatih pasukan Negeri Sembilan Naza telah dikenakan tindakan gantung sebanyak enam perlawanan dan didenda RM2,000 kerana terlibat dengan insiden bersama peminat selepas perlawanan Liga Super menentang Perlis.

Karier bola sepak Souissi di Malaysia bermula pada tahun 1997 apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah melantiknya untuk mengendalikan pasukan kebangsaan B-19 bagi menyertai Kejohanan Belia Dunia 1997 yang mana jutaan ringgit telah dibelanjakan untuk memastikan skuad negara berjaya mencapai kejayaan tetapi ia berakhir dengan kegagalan apabila mereka mengakhiri perlawanan di tempat tercorot.

Dalam tiga perlawanan yang dilalui mereka hanya berjaya menjaringkan dua gol sahaja dan melepaskan sembilan gol.

Beliau kemudian telah dilantik sebagai ketua jurulatih interim (sementara) skuad utama Harimau Malaya tetapi hanya bertahan untuk empat perlawanan sahaja sebelum dilepaskan.

Ketika di bawah kendaliannya, skuad negara tidak pernah  menang apabila hanya berjaya seri dua kali dan tewas dua kali, sekaligus meletakkan beliau dan seorang lagi Ahmad Shafie sebagai jurulatih yang gagal menang sebarang perlawanan lebih tiga dekad.

Pada tahun 2019 beliau telah dilantik sebagai Pengarah Teknikal di Konfederasi Bola Sepak Mongolia untuk pasukan kebangsaan Mongolia.

Dalam perkembangan lain, pasukan kebangsaan Tunisia telah memulakan kempen Piala Dunia 2022 Qatar dengan langkah kanan apabila berjaya mengikat pasukan gergasi Denmark tanpa jaringan pada perlawanan pertama Kumpulan D sebentar tadi.

Edisi 2022 menjadi kali keenam mereka layak ke pusingan akhir Piala Dunia sejak kali pertama menyertainya pada tahun 1978.