Bola sepak Australia semakin tenat dan kini ‘bagai telur di hujung tanduk’

2,270

Australia baru sahaja dikalahkan oleh juara bertahan Piala Dunia, Perancis 4-1 dalam perlawanan Kumpulan D Piala Dunia 2022 Qatar.

Kekalahan ini bukanlah satu kejutan sebaliknya rata-rata peminat bola sepak Australia sudah dapat menjangkakan perkara ini kerana pada edisi kali ini ketua jurulatih pasukan kebangsaan mereka iaitu Graham Arnold tampil dengan skuad yang serba kekurangan.


Bagi peminat yang tidak mengikuti perkembangan bola sepak di Australia pastinya tidak mengetahui masalah yang sedang dihadapi oleh Persatuan Bola Sepak Australia (FAA) yang menyaksikan prestasi pasukan kebangsaan mereka kini merosot dengan drastik.

Sebelum ini, skuad yang diberi jolokan Socceroos merupakan sebuah pasukan yang cukup kuat apabila menjadi satu-satunya pasukan kebangsaan yang pernah menjuarai dua kejuaraan konfederasi iaitu OFC Nations Cup (Australia sebelum ini berada di bawah Konfederasi Oceania sebelum ambil keputusan untuk masuk Kondeferasi Asia pada tahun 2006) sebanyak empat kali dan juga AFC Asian Cup pada tahun 2015.

Mereka mempunyai reputasi yang cukup gah sebelum ini apabila berjaya layak ke Piala Dunia sebanyak enam kali termasuk pada tahun 2022 yang sedang berlangsung ketika ini di Doha, Qatar, termasuk pernah beraksi di FIFA Condeferations Cup sebanyak empat kali.

Namun semuanya berubah apabila mereka berdepan kemelut serius termasuk saingan liga domestik mereka A-League yang sudah tidak lagi kompetitif apabila hanya mempunyai 12 pasukan sahaja.

Antara faktor yang menyumbang kepada kemerosotan bola sepak di Australia adalah pemain-pemain tidak lagi mempunyai semangat juang yang tinggi dan komited.

Selain itu, pengurangan jumlah perlawanan untuk saingan liga juga menyebabkan ramai pemain muda berkualiti tidak mendapat minit permainan yang cukup.

Lebih parah lagi, A-League kini juga berdepan masalah sama seperti yang berlaku di Liga Malaysia ketika ini yang mana pemain-pemain muda tempatan tidak mendapat peluang langsung untuk beraksi bersama skuad utama kerana pihak kelab lebih mengutamakan keputusan berbanding pembangunan pemain akar umbi.

Sistem pembangunan bola sepak yang pernah melahirkan Generasi Emas juga dibubarkan dan digantikan dengan sistem akademi bola sepak berbayar sekaligus menyebabkan pemain yang mempunyai potensi tetapi tidak berkemampuan tidak mendapat latihan berkualiti.

Kurangnya pelaburan untuk sukan bola sepak di sana juga menjadi antara sebab mengapa bola sepak Australia semakin ketinggalan.

Ini hanyalah sebahagian kecil masalah yang jelas kelihatan dan ia seakan-akan virus yang akan terus merebak dengan lebih teruk sekiranya tidak ditangani dengan segera.

Badan induk bola sepak Australia perlu segera ‘buka mata’ dan mengambil tindakan pantas untuk menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku sekiranya mereka tidak mahu bola sepak negara itu terus merudum.

Ya tidak dapat dinafikan usaha untuk menaikkan semula bola sepak negara itu akan memakan tempoh yang lama, tetapi ia perlu dilakukan dengan kadar segera kerana jika tiada tindakan pantas dilakukan mereka, maka tidak mustahil Australia tidak akan mampu lagi layak ke Piala Dunia 2026.