Falsafah TMJ sebenarnya tak salah, Malaysia mampu menewaskan Arab Saudi!

1,113

Arab Saudi melakukan kejutan terbesar dalam Piala Dunia Qatar 2022 setakat ini apabila bangkit dari ketinggalan 1-0 untuk menewaskan pasukan pilihan dan juara dua kali, Argentina 2-1 di Stadium Lusail semalam.

Dua gol hasil jaringan Saleh Al-Shehri dan Salem Al-Dawsari pada separuh masa kedua berjaya memadam gol penalti yang dijaringkan oleh Lionel Messi pada separuh masa pertama.


Keputusan itu menyaksikan Arab Saudi kini menduduki tangga pertama kumpulan C selepas satu lagi perlawanan melibatkan Poland dan Mexico berkesudahan seri.

Jika dilihat daripada barisan kesebelasan utama yang ditampilkan oleh ketua jurulatih Arab Saudi, Herve Renard, beliau memilih sembilan pemain daripada kelab juara Saudi Professional League musim lalu iaitu Al-Hilal.

Ternyata percaturannya menjadi dengan kedua-dua pemain yang menjaringkan gol juga merupakan pemain Al-Hilal.

Apa yang dibuktikan oleh Arab Saudi semalam juga sebenarnya boleh dicontohi oleh pasukan kebangsaan Malaysia.

Umum mengetahui bahawa ketika ini, ramai pemain kebangsaan negara berada di pasukan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Untuk rekod, Al-Hilal juga mempunyai kaitan dengan keluarga diraja Arab Saudi, satu persamaan dengan JDT yang dimiliki oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Sejak mengambil alih JDT, baginda telah melakukan pelbagai penambahbaikan ke dalam pasukan sehingga berjaya membawa kelab itu ke tahap yang jauh lebih tinggi, termasuklah membawa masuk ramai pemain kebangsaan ke dalam pasukan.

Walaupun perkara itu sering dikecam oleh sebilangan peminat bola sepak tempatan, jika dilihat dari sudut positif apa yang dilakukan itu sebenarnya baik untuk persefahaman pemain-pemain dalam skuad kebangsaan.

Berdasarkan apa yang dilakukan oleh Al-Hilal, ia jelas berjaya menjadikan skuad Arab Saudi lebih kuat berbanding edisi Piala Dunia sebelum ini di mana mereka sering menjadi pasukan belasahan apabila bertemu pasukan besar.

Tidak mustahil satu hari nanti Malaysia juga mampu mengikuti jejak Arab Saudi dengan barisan pemain dari JDT untuk mencipta kejutan dalam kejohanan besar.

Jadi tidak salah sebenarnya sekiranya JDT atau mana-mana kelab lain mengumpulkan pemain-pemain kebangsaan dalam pasukan mereka.

Jika dilihat keseluruhan skuad Arab Saudi, selain Al-Hilal, kebanyakan pemain lain adalah dari kelab Al-Nassr dan ada beberapa pemain dari kelab Al-Shabab.

Satu hari nanti, mungkin Malaysia pula berjaya menewaskan Arab Saudi dengan ramuan yang sama.

Mungkin di Piala Asia 2023?