Mexico with Argentina touch! Seolah-olah JDT di depan mata

322

Sejak mengalami proses transformasi pada 2013, pengaruh Amerika Selatan terutama Argentina dilihat menjadi asas kepada kekuatan Johor Darul Ta’zim (JDT) sehingga berjaya menjadi salah satu pasukan terbaik di Asia Tenggara ketika ini.

Jika dilihat senarai pengurus sejak JDT ditubuhkan, ramai kebanyakan pengurus yang dilantik adalah dari Argentina iaitu Mario Gomez, Raul Longhi dan Luciano Figueroa, berbanding pengurus dari negara lain.


Bukan sahaja pengurus, pemain daripada negara itu juga boleh dikatakan memberi pengaruh besar dalam mengangkat JDT ke tahap yang lebih tinggi.

Luciano Figueroa, Juan Martin Lucero, Jorge Pereyra Diaz, Leandro Velazquez dan Gonzalo Cabrera adalah antara pemain dari Argentina yang pernah mencatat sejarah bersama pasukan itu.

Namun, pengaruh yang dibawa oleh pengarah sukan, Martin Prest ke dalam pasukan juga tidak boleh dilupakan dalam menaikkan kelab itu.

Walaupun jurulatih bertukar ganti, kini dibimbing oleh jurulatih Venezuela, Hector Bidoglio, falsafah bola sepak JDT tetap sama dengan permainan cantik intensiti tinggi dengan hantaran pendek.

Sebelum Bidoglio membimbing JDT, jurulatih dari Mexico, Benjamin Mora juga berjaya meneruskan falsafah permainan JDT dengan jayanya sehingga berjaya membawa pasukan itu mara lebih jauh di peringkat Asia.

Perkara ini juga dapat dilihat dalam pasukan Mexico yang ketika ini dibimbing oleh pengendali dari Argentina, Gerardo Martino.

Walaupun tidak berjaya menewaskan Poland pada perlawanan pertama Piala Dunia mereka semalam, jelas gaya permainan yang ditampilkan oleh pasukan itu menarik untuk disaksikan.

Sejak mengambil alih Mexico pada 2019, Martino menerapkan permainan menyerang dengan high pressing, serta hantaran pantas dari bawah, gaya permainan yang sinonim dengan dirinya.

Beliau melantik barisan kejurulatihan yang terdiri daripada warga Argentina daripada pembantu jurulatih, jurulatih penjaga gol sehinggalah jurulatih kecergasan.

‘Revolusi Argentina’ yang dibawa ke dalam pasukan Mexico ini mengingatkan kepada hubungan baik antara JDT dan bola sepak  Argentina yang menjadi antara nadi kejayaan pasukan itu.