11 pemain JDT tak dapat sertai kem negara, Kim Pan-gon hadapi cabaran besar di Piala AFF

5,519

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengeluarkan senarai 29 pemain yang akan ke kem latihan pusat bermula 29 November bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan bertemu Kemboja dan Maldives sebagai persiapan untuk Piala AFF.

Senarai yang dikeluarkan itu ternyata mengejutkan ramai pihak selepas ramai tonggak yang tidak turut serta terutama pemain-pemain dari Johor Darul Ta’zim (JDT).


Antaranya adalah Corbin Ong, Shahrul Saad, Nazmi Faiz, Arif Aiman, Matthew Davies, Syafiq Ahmad, dan Akhyar Rashid termasuk pemain Sri Pahang FC, Azam Azih.

Daripada 13 pemain JDT yang dipanggil, hanya Safawi Rasid dan Ramadhan Saifullah yang tersenarai.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh FAM, mereka yang tidak dapat menyertai adalah gara-gara urusan peribadi, komitmen keluarga atau masalah kecederaan.

Tambah kenyataan itu lagi, 12 pemain tersebut tidak akan disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya ke Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.

Selain daripada itu, ramai juga yang terkejut dengan penyenaraian dua pemain naturalisasi baru Sri Pahang, Sergio Aguero dan juga Lee Tuck yang hanya bermain pada Piala Malaysia musim ini.

Dengan peluang yang diberi, kedua-dua pemain itu harus membuktikan bahawa kewarganegaraan yang diberikan kepada mereka tidak sia-sia.

Dalam pada itu, berdasarkan senarai 29 pemain yang dibariskan, ia boleh dikatakan satu ‘skuad eksperimen’ oleh Kim Pan-gon kerana gabungan pemain berpengalaman dan pemain muda serta pemain yang tiada kap bersama Harimau Malaya.

Mungkin Piala AFF kali ini akan dijadikan medan buat beliau untuk pemain-pemain muda serta pemain baru menunjukkan kebolehan mereka dan melihat pemain yang layak dibawa untuk ke Piala Asia nanti.

Namun, peminat tidak harus meletakkan harapan yang tinggi ke atas pasukan ini dan sedar bahawa kebanyakan tonggak utama tidak turut serta.

Dari sudut positif, pemain-pemain lain mempunyai peluang membuktikan kemampuan mereka untuk memikat hati Pan-gon dan mungkin menjadi bintang baru buat Harimau Malaya.

Walaubagaimanapun, sasaran untuk sekurang-kurangnya mara ke peringkat separuh akhir masih lagi wajar diletakkan.

Daripada senarai ini, 23 pemain akan dipilih dalam senarai akhir untuk ke Piala AFF di mana Malaysia diletakkan dalam kumpulan B bersama-sama Myanmar, Laos, Vietnam dan Singapura.