Sudah menang pilihan raya, kerajaan Perlis harus tunai janji kembalikan kegemilangan bola sepak negeri
Berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang berlangsung pada Sabtu lalu menandakan Malaysia sudah memilih wakil rakyat mereka untuk tempoh lima tahun akan datang.
Walaupun Perdana Menteri masih belum diputuskan sehingga kini, terdapat parti yang sudah berjaya membentuk kerajaan negeri selepas mendapat majoriti mudah.
Antara negeri yang sudah mempunyai kerajaan baru adalah Perlis selepas Perikatan Nasional (PN) memenangi 14 daripada 15 kerusi yang di pertandingkan.
Apa yang perlu dilakukan kini pastinya mengotakan segala manifesto yang telah dilaungkan sebelum PRU15 berlangsung.
Sebelum ini, PN Perlis ada menyenaraikan 10 manifesto sekiranya gabungan itu berjaya menawan Perlis, dan antara yang mencuri tumpuan adalah mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri itu melalui kerjasama antara kerajaan negeri dan swasta.
Manifesto ini pastinya dinanti-nantikan oleh peminat bola sepak di negeri itu setelah melalui detik yang sukar menyebabkan bola sepak Perlis ‘hancur’.
Pasukan Singa Utara merupakan salah satu pasukan yang digeruni pada tahun 2000-an, pernah menjuarai Liga Super pada 2005, Piala Malaysia (2004 dan 2006) dan Piala Sumbangsih (2007 dan 2008) sebelum jatuh ke Liga Perdana pada 2012.
Pada tahun 2019, pasukan itu secara rasminya terkubur selepas mengalami krisis kewangan dan dikatakan telah ditipu seorang scammer bergelar Datuk.
Sesiapa sahaja yang bergelar exco sukan negeri Perlis kelak harus memastikan janji tersebut ditunaikan.
Mungkin ada pihak yang tidak bersetuju dengan penglibatan politik dalam bola sepak namun harus diakui bahawa zaman kegemilangan Perlis hadir ketika Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Shahidan Kassim memegang pasukan.
Justeru, sekiranya dilakukan dengan niat yang betul, mungkin kerajaan negeri Perlis mampu mengangkat kembali martabat bola sepak negeri itu kembali ke zaman kegemilangannya.
Janji telahpun ditabur dan mandat telahpun diberikan, jadi inilah masanya untuk pihak yang menabur janji untuk menunaikan janji mereka.
Diharapkan bola sepak Perlis akan kembali bangkit sehingga mampu menjadi kuasa besar dalam bola sepak tempatan.