Tak pilih Kanada, peminat perlu bersyukur Corbin Ong main untuk Malaysia

1,769

Pasukan Kanada akhirnya membuat penampilan semula di kejohanan Piala Dunia 2022 Qatar selepas 36 tahun, namun memulakan kempen mereka dengan langkah kiri apabila tewas di tangan gergasi Belgium 1-0 dalam perlawanan Kumpulan F pagi tadi.

Apabila bercakap mengenai pasukan Kanada, sudah pasti akan timbul satu nama dalam kepala peminat iaitu La’Vere Corbin-Ong atau lebih dikenali sebagai Corbin Ong kerana beliau sebelum ini pernah beraksi bersama skuad kebangsaan Kanada.


Corbin membuat penampilan pertama dan terakhirnya bersama skuad kebangsaan The Reds pada tahun 2017 ketika mereka menentang Scotland yang mana beliau dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-67 perlawanan.

Biarpun perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1, namun penampilannya telah berjaya mendapat perhatian sebuah portal sukan di sana yang melihat Corbin mampu menjadi senjata buat pasukan Kanada masa hadapan selepas melihat kemampuannya terutamanya throw-ins yang seakan-akan bekas pemain Stoke City, Rory Delap.

Ketika itu beliau turut beraksi bersama rakan sepasukan Junior Hoilett yang kini bersama skuad kebangsaan Kanada di Piala Dunia 2022.

Hoilett kini sedang beraksi bersama kelab Reading FC di liga Championship di England. Beliau juga merupakan bekas pemain Blackburn Rovers, SC Paderborn, FC St. Pauli, Queens Park Rangers dan Cardiff City.

Corbin memulakan karier bola sepaknya bersama kelab Vancouver Whitecaps Residency di Kanada sebelum berhijrah ke Jerman pada tahun 2012 untuk beraksi bersama kelab di divisyen lima Pommern Greifswald selama dua musim.

Beliau kemudian berhijrah ke kelab Berliner AK pula yang bersaing di divisyen empat sebelum berjaya menarik perhatian kelab di divisyen tiga FSV Frankfurt yang menyaksikan Corbin bermain dalam 35 dari 36 perlawanan pada musim 2016-17.

Beliau kemudian sekali lagi berhijrah ke kelab Go Ahead Eagles yang beraksi di divisyen dua untuk musim 2017-2018, namun hanya berjaya membuat 10 penampilan sahaja berikutan dibelenggu kecederaan.

Prestasi cemerlang ditambah mempunyai darah kacukan Malaysia membuat juara Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) membawanya ke Malaysia untuk beraksi bersama kelab itu pada tahun 2018.

Sejak beraksi bersama JDT, Corbin telah berjaya mengecapi pelbagai kejayaan termasuk juara Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA, Piala Sumbangsih dan juga beraksi di AFC Champions League.

Kehebatannya di posisi pertahanan kiri turut menyaksikan beliau kemudian dipanggil untuk menyarung jersi Harimau Malaya dan telah membantu skuad negara untuk layak ke Piala Asia 2023.

Tidak keterlaluan juga sekiranya berkata Corbin merupakan pemain pertahanan kiri terbaik negara dan Asia Tenggara ketika ini kerana prestasi konsisten sepanjang musim bukan sahaja bersama JDT tetapi juga bersama skuad negara.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen