FAM belum ada sasaran untuk Piala AFF, semua 29 pemain yang dipanggil mesti hadirkan diri – Noor Azman Rahman

217

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum menetapkan apa-apa sasaran buat skuad negara pada kejohanan Piala AFF Disember ini.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata pihaknya akan menunggu sehingga skuad kebangsaan selesai dua perlawanan persahabatan dengan Kemboja dan Maldives serta barisan 23 pemain ditetapkan terlebih dahulu.


“Sekarang masih baru lagi (untuk letakkan sasaran), kita tunggu dua selesai dua perlawanan persahabatan dan senarai 23 pemain dikeluarkan dahulu, nanti ketua jurulatih (Kim Pan-gon) akan umumkan,”

katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kesemua 29 pemain yang dipanggil kali ini mesti hadir ke kem latihan yang telah ditetapkan.

Katanya, 12 pemain lain telah diberi pengecualian atas alasan yang telah dinyatakan oleh pihaknya dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, beliau mengesahkan bahawa setakat ini hanya pasukan Brunei yang akan menjadikan Malaysia sebagai home mereka pada Piala AFF, iaitu bagi perlawanan menentang Indonesia dan Thailand.

Mengenai insiden keganasan penyokong Terengganu yang membaling batu ke bas pasukan Selangor selepas separuh akhir Piala Malaysia baru-baru ini, beliau berkata perkara itu akan dibawa untuk penilaian Jawatankuasa Tatatertib dan keputusan akan diberikan kelak.

“Di pihak FAM, kita dah terima laporan daripada match commissioner dan MFL (Malaysian Football League), dan ia sedang dinilai oleh Unit Undang-Undang untuk dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib.

Biasanya pasukan akan dikenakan tindakan, cuma kita akan tengok daripada penilaian Jawatankuasa Tatatertib, buat masa ini tak boleh nak beritahu hukuman apa yang akan dikenakan.”

Menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia Ahad ini, beliau memberi jaminan bahawa pengadil yang dipilih adalah dalam kalangan yang terbaik dan merupakan pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).