Datuk Seri Anwar Ibrahim sah PM ke-10, reformasi baru untuk sukan di Malaysia
Datuk Seri Anwar Ibrahim secara rasmi telah dilantik sebagai Perdana Menteri (PM) Malaysia yang ke-10 selepas keputusan tersebut diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) menerusi perbincangan khas bersama Raja-Raja Melayu hari ini (24 November).
Hal ini menggembirakan ramai pihak di Malaysia selepas kemelut pemilihan yang berlangsung selama beberapa hari sejurus selesai Pilihan Raya ke-15 baru-baru ini.
Meskipun sibuk tatkala bergelar sebagai seorang ahli politik, DSAI tetap dilihat mempunyai minat terhadap aktiviti sukan.
Sebelum ini, tular video yang menunjukkan beliau bermain badminton sewaktu turun berkempen sewaktu PRU ke-15.
Pada masa yang sama, ketika diwawancara sebelum ini, beliau juga ada berkongsi tentang minatnya terhadap kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester United sejak sekian lama.
Dengan minat yang beliau miliki, harapnya akan ada reformasi serupa seperti yang ingin beliau jalankan terhadap kerajaan sebelum ini dapat turut dilakukan di dalam bidang sukan.
Besar harapan daripada semua rakyat Malaysia untuk melihat pelbagai perubahan dan transformasi yang dapat dilakukan oleh beliau selepas diangkat menyandang jawatan PM sebagaimana yang telah sekian lama diinginkan olehnya.
Hal ini termasuk di dalam aspek pembangunan sektor sukan di Malaysia yang masih boleh dikelaskan sebagai kurang memuaskan berbanding beberapa negara lain di Asia seperti Jepun, Korea Selatan dan China.
Semoga kesemua aspek pembangunan sukan termasuk dari segi penjagaan fasiliti sehingga ke kebajikan atlet dapat lebih diberi perhatian sewajarnya oleh kabinet baru yang bakal dibentuk tidak lama lagi terutama sekali Kementerian Belia dan Sukan.
Perancangan serta pelan strategik yang pernah dirancang sebelum ini perlu diteruskan dan ditambah baik bagi memastikan usaha yang telah berjalan tidak terkubur begitu sahaja.
Terutama sekali untuk sukan utama di Malaysia seperti bola sepak yang telah berjaya menunjukkan kebangkitan sedikit demi sedikit.
Tidak mustahil, perubahan yang bakal berlaku ini akan menjadi pembakar semangat buat para pemain Harimau Malaya untuk lakukan kejutan di saingan Piala Asia Qatar kelak.
Kami dari portal Harimau Malaya ingin turut sama mengambil kesempatan bagi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas lantikan DSAI sebagai PM Malaysia yang terbaru.