Safawi Rasid harus pertimbang destinasi baru musim depan untuk kembali kepada prestasi terbaik

1,371

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam secara rasminya mengumumkan senarai 29 pemain untuk ke kem latihan kebangsaan bagi menghadapi Piala AFF Disember depan.

Daripada 13 orang pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dipanggil, hanya dua orang pemain yang menyahut penggilan iaitu Safawi Rasid dan Ramadhan Saifullah.


Menurut FAM, berdasarkan Peraturan Status Perpindahan Pemain Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA); Lampiran 1: Bahagian Pelepasan Pemain Kepada Pasukan Kebangsaan Perkara 6 yang menyatakan bahawa kelab tidak diwajibkan untuk melepaskan pemain untuk kejohanan Piala AFF ini.

Ini seolah-olah menunjukkan bahawa hanya kedua-dua pemain ini yang mendapat ‘pelepasan’ untuk menyertai pasukan kebangsaan.

Perkara itu bagaimanapun tidak boleh dipertikaikan memandangkan JDT telah melalui musim yang padat dan adalah wajar untuk para pemain mendapatkan rehat yang cukup sebelum musim baru bermula.

Namun bagi Safawi pula, ia memberi isyarat bahawa beliau bukanlah watak yang begitu penting untuk kelab itu berbanding pemain sayap lain seperti Arif Aiman dan Akhyar Rashid, malah Syafiq Ahmad yang kadang kala diletakkan di bahagian sayap.

Mungkin ini adalah petanda buatnya untuk berhijrah bagi mendapatkan kembali prestasinya ketika mula-mula menyertai pasukan pada 2017.

Beliau boleh mempertimbangkan untuk mengikut jejak dua rakan sepasukannya, Stuart Wilkins dan Irfan Fazail yang menyertai Sabah FC secara pinjaman untuk mendapatkan minit permainan.

Pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee pastinya gembira sekiranya dapat bergabung kembali dengan bekas anak buahnya dalam skuad kebangsaan itu.

Selain Sabah, Terengganu FC juga adalah satu destinasi yang sesuai buat dirinya mendapatkan semula keyakinan diri.

Sebelum menyertai JDT, beliau terlebih dahulu mencipta nama bersama T-Team dan kepulangan ke negeri kelahirannya itu dapat diibaratkan ‘bagai sirih pulang ke gagang’.

Terengganu yang dilaporkan bakal kehilangan ramai tonggak musim depan pastinya gembira sekiranya dapat membawa Safawi.

Perak FC yang ketika ini sedang dalam proses transformasi di bawah ketua jurulatih, Lim Teong Kim juga dilihat kelab yang mampu menaikkan semula karier Safawi.

Teong Kim sebelum ini pernah meluahkan minat beliau untuk mendapatkan rakan Safawi iaitu Syafiq Ahmad.

Namun Safawi juga dilihat sebagai alternatif yang terbaik sekiranya JDT enggan melepaskan Syafiq Ahmad.

Sentuhan yang dimiliki Teong Kim pastinya mampu mengembalikan semula prestasi Safawi ke tahap yang terbaik.

Musim ini, Safawi kurang mendapat minit permainan di JDT dan kebanyakan penampilannya adalah sebagai pemain gantian.

Berpindah ke kelab lain pada musim depan sama ada secara tetap atau pinjaman dilihat sebagai satu pilihan terbaik buat Safawi untuk mendapatkan kembali sentuhan emasnya.