PUMA taja FAM RM500,000 setahun, penaja bola rasmi untuk empat kejohanan termasuk Liga Wanita Nasional

350

Nampaknya saingan domestik bola sepak tempatan di bawah kelolaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) seperti Piala Presiden, Piala Belia, Liga Wanita Nasional (LWN) dan Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) akan terus meriah selepas ditaja oleh jenama terkemuka antarabangsa, PUMA.

Tajaan tersebut bernilai RM500,000 sepertimana yang diperakui oleh Pengerusi Penajaan dan Pemasaran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dato’ Sri Shahril Mokhtar pada majlis perasmian bola rasmi pertandingan hari ini.


“Nilai tajaan lebih kurang RM500,000 setahun bermula pada Januari 2023 sehingga 2024,”

katanya kepada media.

Beliau juga tidak menolak akan ada kerjasama yang lebih besar selepas ini bersama jenama tersebut dan tidak hanya terhenti setakat ini sahaja.

Shahril ingin melihat terlebih dahulu perkembangan perjanjian dua hala ini dan bagaimana ia mampu memberi manfaat kepada badan induk tersebut bagi terus memeriahkan saingan bola sepak tempatan.

“Buat masa ini, dua tahun dengan Active Sports hanya akan fokus kepada bola, ‘bib’ dan sebagainya.

Sekiranya kolaborasi ini berhasil, tidak ada sebab untuk tidak meneruskan kerjasama yang lain bersama PUMA.”

Pada masa yang sama, Shahril juga memberi gambaran bahawa akan ada kolaborasi-kolaborasi bersama organisasi dan syarikat yang besar selepas ini dan tidak tertumpu sepenuhnya kepada bola sepak semata-mata.

“Ada tunggu, strategi kita untuk melihat kepada sektor atau industri.

Kita sudah ada institusi kewangan dengan Bank Islam dan sukan dengan PUMA, tidak mustahil dalam masa terdekat kolaborasi dengan beberapa pemain industri yang lain dalam masa terdekat.”

Majlis pelancaran tersebut telah berlangsung di Active Sports Centre Seksyen 9 dan telah disempurnakan oleh Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin.

Semoga penajaan besar ini mampu membantu untuk terus memeriahkan lagi saingan-saingan yang bakal diadakan pada musim depan terutama sekali LWN dan PTSR yang semakin mendapat perhatian daripada peminat bola sepak tempatan.