Pasukan Liga M3, Perlis & Sarawak pun pernah ada pemain Piala Dunia

347

Sebentar tadi baru sahaja tamat perlawanan Kumpulan G Piala Dunia 2022 Qatar membabitkan Switzerland dan Cameroon yang menyaksikan pasukan dari Afrika itu tumpas tipis 1-0.

Biarpun tewas, namun aksi persembahan yang dipamerkan oleh pemain Cameroon mendapat pujian ramai dan ini membuktikan negara itu mempunyai ramai pemain yang cukup berbakat besar dan tidak hairan ramai pemain dari negara itu beraksi di liga di serata dunia termasuk di Liga Malaysia.


Tidak dinafikan sememangnya ramai pemain dari Cameroon yang beraksi di Liga Malaysia tetapi pemain yang benar-benar berkualiti atau lebih tepat lagi pemain kebangsaan The Indomitable Lions hanya segelintir sahaja.

Bagi peminat yang baru mengikuti perkembangan bola sepak tanah air, tahukah anda pasukan Perlis mempunyai Emile Mbouh Mbouh pada era pertengahan 90an, manakala Joel Epalle pula pernah mewakili Sarawak pada tahun 2012.

Mbouh yang memulakan karier bola sepak profesionalnya pada 1984 bersama kelab Union Douala dan sejak itu beliau mendapat perhatian banyak kelab berikutan persembahan mantapnya setiap kali turun beraksi.

Antara kelab yang pernah diwakilinya di awal karier termasuk Diamant Yaounde, Le Havre, Vitoria de Guimaraes, Benfica e Castelo Branco, Qatar SC dan banyak lagi.

Kehebatannya itu kemudian telah menarik perhatian ketua jurulatih pasukan kebangsaan Cameroon yang mana beliau telah menyarung jersi negaranya dari 1985 hingga 1994.

Sepanjang kariernya bersama skuad negara, beliau telah melakukan 46 penampilan dan menjaringkan dua gol.

Beliau juga merupakan pemain dalam skuad Piala Dunia 1990 dan 1994 di mana pencapaian terbaiknya adalah membantu Cameroon layak ke peringkat suku akhir pada edisi 1990.

Ketika itu beliau turun beraksi dalam kesemua perlawanan peringkat kumpulan, namun terpaksa diketepikan pada perlawanan menentang England di peringkat suku akhir apabila digantung selepas menerima dua kad kuning.

Antara rakan sepasukannya ketika itu adalah Rigobert Song yang kini merupakan ketua jurulatih pasukan kebangsaan negara itu yang sedang beraksi di Piala Dunia 2022.

Sebaik pulang dari Piala Dunia pada 1994, Mbouh telah berhijrah ke bumi Malaysia untuk beraksi bersama pasukan Perlis dalam saingan Liga Perdana (liga utama Malaysia ketika itu).

Selain Perlis, beliau juga pernah bermain untuk pasukan Kuala Lumpur dan juga Sabah sebelum bersara dari dunia bola sepak.

Dalam pada itu, seorang lagi bekas pemain Piala Dunia iaitu Joel Epalle turut pernah beraksi dalam saingan Liga Malaysia pada tahun 2012-2013 iaitu bersama Sarawak sebelum bersara sebagai pemain bola sepak profesional.

Epalle memulakan karier bola sepak profesional bersama kelab Union Douala dan beberapa lagi, namun beliau kemudian telah berhijrah ke Greece pada tahun 1998 dengan beraksi bersama beberapa kelab di sana termasuk Ethnikos, Panachaiki, Aris, Panathinaikos and Iraklis.

Beliau kemudian berhijrah ke Jerman untuk beraksi bersama VfL Bochum di Bundesliga selama tiga tahun setengah, sebelum ke Azerbaijan untuk beraksi bersama FK Baku.

Pada tahun 2011 beliau pulang ke kelab lamanya Iraklis dan menjadi penjaring terbanyak pada musim 2005-06.

Peminat Liga Malaysia kemudian dikejutkan dengan kedatangan bekas pemain Piala Dunia ini pada tahun 2012 yang menandatangani kontrak bersama Sarawak selama semusim sebelum bersara.

Dalam karier diperingkat antarabangsa, beliau telah membuat 31 penampilan bersama skuad kebangsaan yang mana ketika itu Cameroon berjaya meraih pingat emas di Sukan Olimpik 2000 dan juga berada dalam skuad ketika mereka menjuarai African Cup of Nations tahun 2002.

Beliau juga berada dalam skuad Piala Dunia 2002 yang berlangsung di Korea Selatan dan Jepun, namun tidak diturunkan dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan.

Antara rakan sepasukannya dalam skuad tersebut adalah pemain lagenda yang kini merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Cameroon, Samuel Eto’o.