Kebanyakan pemain JDT memang bagus tetapi kami akan berusaha keras untuk julang Piala Malaysia – Sharul Nazeem

115

Pertahanan Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar mengakui tugas berat bakal dihadapi untuk mengawal barisan serangan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan akhir Piala Malaysia Sabtu ini.

Menurutnya, gandingan Bergson da Silva, Fernando Forestieri dan Arif Aiman begitu berbahaya namun beliau rakan-rakan akan melakukan yang terbaik untuk merantai pergerakan mereka.


“Kebanyakan pemain JDT memang bagus jadi kami perlu fokus 90 minit untuk mengawal serangan mereka dan harap dapat mencipta kemenangan.

Bergson bukanlah pemain yang mudah untuk dikawal, tetapi nak tak nak saya harus kawal beliau dan rakan gandingannya Forestieri dan Arif Aiman,”

katanya.

Beliau menjangkakan akan bergandingan bersama Richmond Ankrah pada perlawanan tersebut memandangkan ramai pemain yang cedera ketika ini tetapi meletakkan segala keputusan kepada ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe.

Dalam pada itu, beliau berkata mereka akan bersedia untuk kemungkinan bermain sehingga masa tambahan tetapi berharap dapat menghabiskan perlawanan dalam 90 minit.

Tambahnya, perlawanan akhir ini adalah amat bermakna buat dirinya memandangkan ini adalah kali pertama beliau melangkah ke perlawanan akhir dalam kariernya.

“Sudah tentu saya gembira kerana ini kali pertama saya merasa berada di final dan laluan kami untuk sampai ke sini tidak mudah.

Saya harap semua pemain dapat berikan yang terbaik pada perlawanan itu dan jika ada rezeki, Insya Allah kami akan memenangi Piala Malaysia.”

Beliau turut menyeru penyokong Selangor untuk membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberi semangat kepada pasukan.

Selangor mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia buat kali pertama sejak 2016 dan berpeluang menjulang piala berprestij itu buat kali ke-34.