Pecah rekod di usia 37! CR7 tidak pernah mengalah, sikap yang patut jadi teladan buat Farizal Marlias dan rakan-rakan Harimau Malaya

396

Bintang bola sepak terkenal dunia, Cristiano Ronaldo terus mengaum di pentas dunia apabila sekali lagi memecah rekod baru apabila menjadi pemain pertama yang berjaya menjaringkan gol dalam lima penampilannya di Piala Dunia.

Jaringan ke-118 untuk negaranya telah membantu pasukan Portugal menewaskan Ghana 3-2 dalam perlawanan yang cukup dramatik di Kumpulan H Piala Dunia 2022 Qatar.


Bukan jaringannya yang menjadi sebutan ramai, tetapi sikap cintakan bola sepaknya yang cukup tinggi dilihat pada perlawanan pagi tadi apabila beliau mengalirkan air mata ketika menyanyikan lagu kebangsaan sebelum sepak mula biarpun ini adalah penampilan yang ke-192 untuk Portugal sejak 2003.

Bagi Ronaldo, usia hanyalah sekadar angka kerana walaupun sudah berusia 37 tahun namun beliau masih berada pada prestasi terbaik dan masih lagi berazam untuk terus beraksi dalam saingan tertinggi dunia termasuk bermain untuk kelab terbesar selepas ini. Untuk makluman, beliau baru sahaja ditamatkan kontrak oleh Manchester United baru-baru ini.

Lihat saja aksinya di padang, beliau masih mempunyai ‘api’ yang sama sejak dari hari pertama beliau bergelar sebagai pemain bola sepak profesional dan beliau akan terus mempamerkan aksi terbaik selagi mampu.

Di Malaysia, pemain yang mempunyai persamaan yang hampir serupa adalah penjaga gol negara, Farizal Marlias.

Beliau kini sudah berusia 36 tahun tetapi masih lagi mempamerkan aksi yang cukup cemerlang bersama salah sebuah kelab terbaik di Asia iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT).

Selepas lebih 16 tahun berkecimpung dalam dunia bola sepak, Farizal telah membuat lebih 200 penampilan bersama kelab dan 54 penampilan bersama pasukan kebangsaan Malaysia, dan masih lagi beraksi di peringkat tertinggi untuk kelab dan juga negara.

Mungkin tidak keterlaluan jika hendak meletakkan perumpamaan ‘seperti wine, lebih berusia lebih baik’ dan peminat sepatutnya meraikan momen Ronaldo dan Lionel Messi ketika ini sebelum mereka bersara.

Kritikan kuda tua juga tidak sepatutnya dilontarkan kepada pemain-pemain senior kerana kehadiran mereka dalam pasukan masih banyak diperlukan kerana mereka mempunyai pengalaman, pengaruh dan sikap kepimpinan yang sangat berharga.

Jadi tidak hairan pemilik JDT iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris sangat menghargai pemain senior seperti Farizal dan Safiq Rahim kerana sumbangan dan pengaruh positif mereka terhadap pasukan dan juga kepada pemain muda.

Kepada pemain senior pula, jangan bersikap besar kepala dan pentingkan diri sendiri hanya kerana anda seorang pemain berpengalaman, sebaliknya jadikan Ronaldo sebagai contoh terbaik yang mana beliau bukan sahaja menjadi idola kepada jutaan peminat tetapi juga pemain di seluruh dunia atas keperibadian yang baik dan sentiasa merendah diri.