Semua pasukan mahu tewaskan JDT, ia satu motivasi untuk kami terus jadi lebih baik – Hector Bidoglio

346

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio sedar bahawa semua pasukan di negara ini berusaha keras untuk cuba menewaskan pasukannya dan menjadikan ia sebagai pemangkin untuk sentiasa memperbaiki pasukan.

Katanya, walaupun JDT sentiasa memenangi piala, beliau sentiasa memastikan anak-anak buahnya kekal merendah diri.


“Bila anda sentiasa menang, menang dan menang, anda harus terus berusaha dan kerja keras setiap hari dan pastikan minda pemain sentiasa berada di tahap yang tinggi.

Kami tahu semua pasukan mahu kalahkan kami tetapi kami jadikan ini sebagai motivasi untuk memperbaiki pasukan dan sentiasa bekerja keras,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjangkakan perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Selangor FC esok akan menjadi sukar kerana lawannya itu adalah sebuah pasukan yang kuat.

Menurutnya, Selangor adalah pasukan yang baik dengan pertahanan yang baik serta set-piece yang mantap, justeru mereka akan cuba mengeksploitasi kelemahan lawan.

“Apabila anda beraksi dalam final ia tidak mudah, perjalanan kami ke tahap ini pun tidak mudah, semua pihak di kelab ini gembira kerana dapat melangkah ke satu lagi perlawanan akhir.

Adalah penting buat kami memenangi piala ini kerana untuk memenangi empat piala dalam semusim adalah sukar dan kami akan ambil tanggungjawab untuk merealisasikan perkara itu esok.”

Sementara itu, beliau memuji sikap pemain sayap muda, Arif Aiman yang sentiasa cuba mempertingkatkan tahap permainannya.

Beliau berkata, pemain itu sering bertanya kepada pemain senior dan barisan kejurulatihan untuk memperbaiki permainannya.