Tiada Aysar, Daryl atau Najmudin dalam senarai, masa untuk Ibrahim Manusi menyinar

1,091

Ketua jurulatih pasukan B-23 negara, E. Elavarasan baru sahaja mengumumkan senarai 25 orang pemain yang telah dipanggil bagi menyertai kem latihan pusat pertama di bawah kendaliannya selepas menggalas tanggungjawab pada September yang lalu.

Yang menarik perhatian peminat adalah ketiadaan pemain-pemain muda Johor Darul Ta’zim seperti Daryl Sham, Aysar Hadi, Najmudin Akmal serta Adam Farhan yang boleh dianggap menyinar musim ini.


Tambahan pula, pemain-pemain tersebut telah mempamerkan aksi cemerlang untuk membantu pasukan JDT untuk menjuarai saingan Liga Perdana serta Piala Presiden musim ini.

Ketiadaan Daryl antara yang menjadi kejutan besar tatkala pemain berusia 19 tahun tersebut telah dinobatkan penjaring terbanyak Liga Perdana bagi kategori pemain tempatan musim ini.

Satu pencapaian yang mengagumkan buat pemain muda seperti Daryl untuk bersaing dengan penyerang berkualiti lain di Liga Perdana seperti Nurshamil Ghani dari Kelantan FC.

Pada masa yang sama, Aysar, Adam dan Najmudin sebelum ini telah berjaya membantu pasukan B-19 negara untuk menjuarai saingan Piala AFF B-19 pada Julai lalu yang berlangsung di Indonesia.

Ketua pasukan skuad B-19 tersebut bersama dengan Daryl turut disenarai pendek sebagai antara calon yang berpeluang untuk dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik bagi Anugerah Bola Sepak Kebangsaan tahun ini.

Jadi agak menghairankan mengapa pemain-pemain ini tidak disenarai pendek kali ini meskipun memiliki potensi yang besar.

Namun, berkemungkinan besar akan ada panggilan kedua yang bakal dibuat oleh Elavarasan selepas ini untuk terus mengenal pasti pemain yang boleh diberikan tanggungjawab untuk mewakili pasukan muda negara tersebut.

Dalam pada itu, antara nama yang mencuri tumpuan adalah pemain skuad Piala Presiden Pahang, Ibrahim Manusi.

Selain daripada membantu pasukan Piala Presiden Pahang layak ke perlawanan akhir tahun ini, Ibrahim juga merupakan antara tonggak utama negeri tersebut bagi kempen Sukan Malaysia (SUKMA) 2022.

Beliau turut berjaya mendapat kepercayaan untuk beraksi bersama skuad utama Sri Pahang pada beberapa aksi menuju ke penghujung saingan Liga Super musim ini.

Daripada tiga aksi beliau, Ibrahim berjaya membantu kelab tersebut meraih dua kemenangan serta satu keputusan seri menentang gergasi Liga Malaysia, JDT pada perlawanan yang berlangsung Oktober lalu.

Beliau yang gemar bermain di posisi bertahan perlu menggunakan peluang yang dimiliki kali ini untuk membuktikan kemampuan sebenarnya.

Kelebihan dari segi fizikal akan membolehkan beliau bersaing untuk menarik perhatian ketua jurulatih skuad Harimau Muda tersebut.

Kem latihan pusat pertama ini bakal bermula pada 27 November sebagai persiapan dan persediaan awal bagi menghadapi pertandingan-pertandingan antarbangsa tahun hadapan seperti Kejuaraan AFF B-23, Sukan SEA 2023 serta kelayakan Piala Asia B-23 untuk tahun 2024.