STY ke Eropah minta pelepasan dua pemain sertai Piala AFF, KPG boleh lakukan perkara sama untuk pemain JDT

395

Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) baru-baru ini telah mengeluarkan senarai awal 28 pemain untuk mengikuti kem latihan sebagai persediaan menghadapi Piala AFF bulan depan.

Antara pemain yang akan memperkuatkan pasukan Indonesia adalah dua pemain yang bermain di Eropah iaitu Elkan Baggot (Gillingham FC) dan Sandy Walsh (KV Mechelen).


Menurut ketua umum PSSI, Mochamad Iriawan, ketua jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong ketika ini sedang bertemu dengan pihak pengurusan Gillingham FC untuk meminta pelepasan bagi Elkan Baggot menyertai Piala AFF, dan kemudian akan bertemu pengurusan KV Mechelen untuk membincangkan perkara sama.

Ini kerana, kejohanan itu berada di luar kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan kelab tidak wajib melepaskan pemain mereka untuk kejohanan itu.

Usaha dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Tae-yong untuk pergi berjumpa sendiri dengan pengurusan kedua-dua kelab itu amatlah mengagumkan dan menunjukkan beliau sememangnya serius mahu membawa pemain-pemain terbaik bagi menghadiahkan trofi Piala AFF pertama buat negara itu.

Berdasarkan senarai pemain Indonesia, mereka boleh dianggap antara pasukan pilihan untuk memenangi edisi kali ini di samping Thailand dan Vietnam.

Berbanding skuad yang disenaraikan ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon baru-baru ini yang dilihat seakan-akan skuad kedua atau skuad eksperimen.

Apa yang mengejutkan adalah ramai pemain utama, terutama yang mewakili Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak tersenarai.

Menurut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), seramai 13 pemain dari JDT dipanggil untuk kem latihan bagi menghadapi Piala AFF namun 11 tidak dapat melaporkan diri termasuk pemain Sri Pahang, Azam Azih atas sebab tertentu.

Mungkin Pan-gon boleh mencontohi apa yang dilakukan oleh Tae-yong untuk berjumpa pemain-pemain tersebut mahupun pihak kelab supaya mereka dapat turut serta menguatkan pasukan negara.

Sekiranya dapat memujuk separuh daripada pemain berkenaan, ia boleh dikira penambahan yang bagus untuk skuad kebangsaan bagi menghadapi kejohanan tersebut.

Harus diakui ketiadaan mereka amat dirasai kerana majoriti pemain-pemain yang menolak panggilan tersebut merupakan tonggak pasukan negara.

Dengan lain-lain pasukan menyenaraikan ramai pemain terbaik mereka untuk Piala AFF kali ini, Malaysia akan berdepan laluan sukar untuk mencabar kejuaraan sekiranya menurunkan skuad kedua.

Masih ada kira-kira sebulan lagi sebelum Malaysia memulakan cabaran dalam Piala AFF dan Pan-gon masih lagi mempunyai masa untuk ‘memujuk’ pemain-pemain yang menolak panggilan baru-baru ini.

Siapa tahu ada yang terbuka hati untuk turut sama membawa cabaran negara pada kejohanan tersebut.