JDT|GBX Esports perlu buktikan status Raja Asia, halang Borussia Dortmund buat kejutan

271

Selain perlawanan bola sepak, pasukan Johor Darul Ta’zim FC juga akan mengadakan satu perlawanan persahabatan Esukan bagi acara FIFAe menentang wakil Jerman, Borussi Dortmund.

Perlawanan tersebut bakal diadakan pada 27 November ini dan akan disiarkan secara langsung di halaman Facebook JDT dan Gamesbond.


Ini adalah peluang buat JDT|GBX Esports untuk buktikan kehebatan mereka selaku pasukan yang berada di tangga pertama Asia tersebut.

Pasukan FIFAe Dortmund kini berada di kedudukan ke-157 dunia dengan kutipan mata sebanyak 131.88.

Pencapaian mereka setakat ini adalah layak ke FIFAe Club Series tahun ini selepas cemerlang di pusingan kelayakan bagi zon Tengah-Barat Eropah.

Mereka berjaya meraih kemenangan pada perlawanan terakhir di pusingan kelayakan menentang pasukan dari Perancis, Estac Troyes dengan keputusan agregat selepas mencatat kemenangan 7-5 dan seri 2-2.

Antara pemain yang mencuri perhatian adalah sandaran utama mereka, Dennis atau lebih dikenali sebagai Denninho.

Sejak menyertai Dortmund pada November 2020, Denninho telah berjaya meraih 41 kemenangan daripada 71 perlawanan dengan peratusan kemenangan sebanyak 57.75%.

Beliau akan menjadi antara halangan utama buat wakil Malaysia tersebut untuk meraih kemenangan mudah.

Selain Denninho, Dortmund akan turut dibarisi oleh beberapa pemain yang lain seperti Eldin Todovorac dan Erne.

Eldin juga memiliki prestasi yang agak baik dengan peratusan kemenangan tinggi 60.27% yang berjaya dicapai menerusi 44 kemenangan daripada 73 perlawanan keseluruhan sejak 2020.

Pada masa yang sama, JDT|GBX Esports ketika ini turut berada di dalam momentum terbaik selepas menyenaraikan muka-muka baru bagi memperkuatkan pasukan dan bakal beraksi di perlawanan ini.

Ini termasuk dengan kehadiran Ega Rahmaditya dari Indonesia serta pemain terbaik dari Malaysia seperti Imran Burhanudeen dan Ahmad Shahrin.

Imran berjaya menduduki tangga kelapan bagi di dalam Global Series Ranking 22 Asia South, satu pencapaian yang amat baik buat wakil dari Malaysia tersebut.

Selain itu, kejayaan rakan mereka, Akmal Abd Rafil, Faiq Iskandar serta Muzzafar Zuhair melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia pada ketika ini akan menjadi pembakar semangat buat para pemain tersebut.

JDT|GBX Esports kini berada di landasan terbaik untuk melangkahkan diri ke perlawanan akhir yang bakal berlangsung pada 25 November ini.

Mereka perlu memastikan kemenangan berpihak kepada pasukan tersebut pada aksi separuh akhir hari ini (25 November) menentang UiTM FC.

JDT|GBX Esports menepati ramalan sebagai antara pasukan pilihan selepas mudah memenangi perlawanan demi perlawanan.

Terdahulu, mereka mudah menewaskan pasukan Kelantan FC dengan keputusan 5-3 di peringkat suku akhir.