Siapa layak pegang jawatan Menteri Belia dan Sukan yang baru?

713

Datuk Seri Anwar Ibrahim secara rasminya dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 semalam selepas selesai upacara pertabalannya di Istana Negara.

Ketika ini, ramai yang menanti-nantikan pembentukan kabinet baru dibawah bimbingan Anwar untuk memimpin negara.


Bagi peminat sukan, portfolio Menteri Belia dan Sukan sudah semestinya dinanti-nantikan bagi melihat siapa yang bakal bertanggungjawab menaikkan martabat sukan negara selama lima tahun ke depan.

Dalam kerajaan yang baru dibentuk ini, ramai dilihat berbakat dan mempunyai sifat kepimpinan yang baik.

Antara mereka yang dilihat layak dalam menggalas tanggungjawab tersebut adalah Ahli Parlimen Setiaawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad

Beliau sememangnya mempunyai minat yang tinggi dalam bidang sukan terutama bola sepak, merupakan penaung bagi kelab bola sepak amatur, Setiawangsa Rangers yang merupakan salah satu inisiatif pembangunan belia melalui bidang sukan yang dilakukan di kawasannya.

Bukan itu sahaja, kelab itu juga sudah melahirkan pemain wanita yang berjaya mewakili negara seperti Intan Zainal Azhar.

Inisiatifnya itu telah berjaya menarik minat ramai anak muda di kawasan Setiawangsa terlibat dalam sukan bola sepak.

Tidak pernah terlibat dalam Kabinet sebelum ini, beliau mungkin mempunyai banyak idea baru dan segar yang mampu meningkatkan lagi martabat sukan negara.

Selain itu, bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mungkin menjadi pilihan untuk memegang semula portfolio beliau sebelum ini.

Walaupun tidak lama memegang jawatan itu, antara inisiatif signifikan yang pernah dilakukannya dalam bidang sukan adalah memperkenalkan Skim Kesihatan Khas untuk atlet.

Skim tersebut yang diperkenalkan pada 2019 adalah untuk meringankan beban Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb).

Selain daripada dua nama di atas, satu lagi kemungkinan yang boleh dipertimbangkan adalah melantik bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai Senator sebelum memberikannya portfolio tersebut.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa beliau adalah antara Menteri Belia dan Sukan yang paling popular dan berjaya ketika menjawat jawatan itu selama lima tahun pada 2013 hingga 2018.

Antara pencapaian terbaiknya ketika memegang jawatan tersebut adalah berjaya membawa kontinjen negara mencatatkan pencapaian paling baik dalam Sukan Olimpik pada edisi 2016 di Rio de Janeiro.

Selain itu, beliau juga memperkenalkan beberapa program sukan untuk rakyat awam seperti Fit Malaysia dan Hari Sukan Negara.

Malaysia juga menganjurkan Sukan SEA 2017 dengan jayanya serta menjadi juara keseluruhan di bawah seliaannya sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Apa yang penting, peminat sukan pastinya mengharapkan Anwar dapat melantik seorang pemimpin yang berwibawa serta bekerja dengan jujur dan amanah untuk memegang portfolio Menteri Belia dan Sukan bagi mengangkat martabat sukan tanah air.