Tersingkir awal! Qatar memang kaya-raya, tapi mereka tuan rumah paling lemah yang pernah beraksi di Piala Dunia
Pasukan tuan rumah dan juga Juara Piala Asia 2019, Qatar menjadi pasukan pertama yang memulakan kempen Piala Dunia 2022 dan mereka juga menjadi yang pertama tersingkir dari kejohanan itu selepas tewas dua kali apabila ditumbangkan Senegal 3-1 pada perlawanan kedua Kumpulan A.
Terdahulu, pada perlawanan pembukaan Qatar terpaksa akur dengan kekuatan Ecuador apabila mereka tewas 2-0, dan mereka cuba menghidupkan semula peluang mereka untuk melepasi peringkat kumpulan tetapi hajat tidak kesampaian.
Impian Qatar untuk pergi jauh dalam kejohanan berprestij dunia ini berkecai awal walaupun mereka masih mempunyai baki satu perlawanan menentang Belanda.
Ini kerana Belanda seri 1-1 dengan Ecuador dan kedua-dua pasukan mengutip empat mata masing masing. Keputusan ini sekaligus menutup peluang Qatar yang masih berputih mata, untuk bermara lebih jauh.
Qatar are the first host nation to lose multiple group stage games in a single World Cup 😳 pic.twitter.com/DGCiRobl7s
— ESPN FC (@ESPNFC) November 25, 2022
Setelah sah tersingkir, Qata menjadi tuan rumah dengan prestasi paling teruk di Piala Dunia.
Sebelum ini gelaran itu dipegang oleh Afrika Selatan yang mana mereka bukan sahaja pasukan tuan rumah yang gagal layak ke peringkat kalah mati, tapi juga paling tidak bernasib baik. Ini kerana pada Piala Dunia 2010 mereka berjaya mengikat Mexico 1-1 sebelum tewas kepada Uruguay 3-0.
Namun mereka mempamerkan aksi cemerlang untuk menewaskan Perancis 2-1 pada perlawanan terakhir kumpulan sekaligus mengumpul empat mata. Malangnya perbezaan jaringan menyebabkan mereka tersingkir.
Berdasarkan ranking pasukan Asia yang beraksi di Piala Dunia 2022, Qatar berada di kedudukan kedua terendah dengan ranking ke-50 dan kedudukan terakhir adalah Arab Saudi di ranking ke-51.
Namun Arab Saudi telah melakukan kejutan terbesar dalam kejohanan kali ini apabila menewaskan gergasi Amerika Selatan, Argentina yang diketuai oleh Lionel Messi, 2-1 pada perlawanan pembukaan.
Biarpun Qatar pernah mengecapi kejayaan di peringkat rantau dalam beberapa tahun ini termasuk menjadi juara Piala Asia, namun mereka bukan pasukan terbaik di Asia kerana mereka tidak pernah layak secara merit ke Piala Dunia sebelum ini.
Apa-apa pun, pujian harus diberikan kepada pasukan Qatar kerana berusaha untuk meningkatkan kualiti bola sepak mereka apabila membuat persiapan rapi termasuk mengadakan perlawanan dengan pasukan-pasukan kuat Eropah, namun dalam lapan perlawanan terakhir yang mereka hadapi, mereka hanya berjaya menang sekali sahaja menentang pasukan kerdil iaitu Luxembourg.
Walaupun prestasi hambar untuk kempen 2022, namun ia boleh dijadikan sebagai pengajaran terbaik buat mereka kerana ini merupakan kali pertama mereka menyertai Piala Dunia walaupun masuk atas tiket tuan rumah.
Sedangkan pasukan dari Asia lain sememangnya sudah mempunyai pengalaman di Piala Dunia seperti Iran (6 penampilan di Piala Dunia); Jepun (7 penampilan di Piala Dunia); Korea Selatan (11 penampilan di Piala Dunia); Australia (6 penampilan di Piala Dunia) dan Arab Saudi (6 penampilan di Piala Dunia).