Walaupun MLS tak sepopular EPL, tapi mereka berjaya bina skuad kebangsaan yang cukup hebat

157

Sebentar tadi pasukan England telah menerima tamparan hebat daripada pasukan USA apabila mereka terikat tanpa jaringan dalam perlawanan kedua Kumpulan B Piala Dunia 2022 di Qatar.

Walaupun England tidak kalah, namun keputusan seri merupakan satu keputusan yang boleh dikatakan agak memalukan memandangkan 99% pemain kendalian Gareth Southgate adalah pemain English Premier League (EPL) iaitu liga bola sepak terbaik di dunia.


Biarpun tidak sepopular seperti EPL, namun Major League Soccer (MLS) telah membuktikan bahawa kualiti liga mereka bukan sahaja sudah meningkat naik dengan drastik, tetapi mereka juga berjaya melahirkan ramai pemain-pemain muda berkualiti.

Ia terbukti apabila skuad Piala Dunia USA kendalian Gregg Berhalter adalah skuad kedua termuda di Piala Dunia kali ini.

Antara pemain yang menjadi tumpuan dalam skuad USA kali ini termasuk Christian Pulisic (Chelsea), Timothy Weah (Lille), Weston McKennie (Juventus), Waler Zimmerman (Nashville SC), Tyler Adams (Leeds United), Shaquell Moore (Nashville SC) dan ramai lagi.

Dengan lapan pemain yang beraksi di Liga Inggeris, maka tidak hairan apabila melihat mampu memberi cabaran cukup sengit buat ‘guru’ mereka.

Pada tahun 2005, MLS hanya mempunyai 12 pasukan sahaja namun pada kini jumlah tersebut telah naik lebih sekali ganda kepada 29 pasukan dan ini memperlihatkan peningkatan yang cukup ketara.

Antara faktor yang menyumbang kepada populariti MLS adalah dengan kedatangan pemain-pemain bintang seperti David Beckham, Thierry Henry, Wayne Rooney, Frank Lampard dan Zlatan Ibrahimovic yang telah mengangkat MLS menjadi salah sebuah liga bola sepak yang paling berkembang maju di dunia.

Malah jumlah kehadiran peminat ke stadium juga meningkat 34% di antara tahun 2013 hingga 2018, yang juga merupakan peningkatan kedua tertinggi dalam saingan liga domestik di dunia.

Biarpun kualiti liga MLS meningkat naik, namun mereka mempunyai peraturan utama yang perlu dipatuhi oleh kesemua kelab iaitu gaji siling (salary cap) di mana setiap kelab hanya dibenarkan untuk berbelanja $4.9 juta (sekitar RM22.4 juta) sahaja untuk semusim.

MLS bagaimanapun dalam perancangan untuk meningkatkan jumlah tersebut kepada $7 juta (sekitar RM32 juta) semusim bermula tahun 2027. Dengan bajet tersebut, kelab perlu menggaji 20 pemain.

Jika dilihat peraturan ini, boleh dikatakan bajet pasukan di Liga Malaysia lebih tinggi (kalau tidak berbanding currency) kerana tiada penetapan gaji siling menyebabkan terdapat jurang besar bajet antara kelab biasa dan kelab yang berkemampuan.

Di Liga Super Malaysia ada kelab yang berbelanja sekitar RM8 juta semusim dan ada juga yang berbelanja lebih RM20 juta hingga RM40 semusim telah menyebabkan pelbagai masalah termasuk masalah tunggakan gaji dan juga liga tidak berkualiti berikutan didominasi oleh kelab-kelab kaya sahaja.

Jadi tidak hairan apabila melihat pemain-pemain di Liga Super Malaysia mendapat gaji yang cukup lumayan tetapi tidak laku langsung sehingga liga negara jiran seperti Singapura, Vietnam, Thailand pun enggan menandatangani pemain tempatan (ada yang bermain di luar negara tetapi jumlahnya sangat kecil dan jika ada pun jarang diturunkan).

Berbalik kepada MLS, mereka juga sangat menitik beratkan pembangunan akar umbi apabila mempunyai peraturan yang mana pemain muda dan berpotensi akan dihantar untuk menjalani sesi pemilihan dengan kelab di luar negara dengan keutamaan kepada Liga ‘Big 5’ di Eropah dan ia telah membuahkan hasil.

Untuk skuad kebangsaan USA, mereka menggunakan khidmat bekas pemain kebangsaan mereka sendiri iaitu Gregg Berhalter yang turut mempunyai pengalaman beraksi di EPL iaitu Crystal Palace.

Tidak dapat dinafikan saingan Liga Malaysia juga sedang dalam proses untuk menaikkan kualiti liga dengan tindakan Malaysian Football League (MFL) telah melakukan penstrukturan liga pada musim hadapan.

Penstrukturan yang dilakukan ini bukan sahaja untuk meningkatkan kualiti liga domestik, tetapi juga supaya dapat melahirkan ramai pemain tempatan berkualiti untuk diserap ke pasukan kebangsaan Harimau Malaya.

Jika Malaysia dapat membentuk skuad negara yang mantap, rasanya tidak perlu lagi mengikut acuan di Eropah, sebaliknya boleh ikut blueprint MLS kerana mereka telah buktikan dengan adanya sebuah skuad yang ampuh dalam kejohanan Piala Dunia tahun ini.

Sementara itu, bercerita lanjut mengenai kempen USA pada kejohanan Piala Dunia, mereka kini menduduki di tangga ketiga dengan mengutip dua mata hasil selepas dua perlawanan dan peluang untuk mereka mara ke pusingan 16 masih lagi terbuka.

USA kini perlu fokus untuk menghadapi perlawanan terakhir kumpulan menentang Iran yang mana mereka wajib menang sekiranya mahu melepasi peringkat kumpulan.