Kita akan buat penelitian terhadap pemain import, jika perlu tukar kita akan tukar – Tan Cheng Hoe

624

Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe memberitahu beliau akan mengadakan perbincangan dengan pengurusan kelab untuk menilai pemain import pada musim ini samada akan dikekalkan pada musim hadapan atau tidak.

“Setiap musim baru setiap pasukan akan cuba pertingkatkan pasukan dan saya akan duduk berbincangan dengan pengurusan terutama dari segi pemain import kita kena buat penelitian lebih terperinci mengenai prestasi mereka sepanjang musim ini.

Kalau kita perlu tukar, kita memang perlu tukarlah,”

katanya.

Cheng Hoe bagaimanapun memberi bayangan bahawa beliau akan mengekalkan majoriti pemain muda di dalam skuad kerana percaya mereka mempunyai masa depan yang cerah dan jika diberi peluang mereka mampu jadi pemain terbaik.


Beliau pada masa sama turut mengakui pengurusan Gergasi Merah kini sedang dalam perbincangan untuk membawa masuk beberapa pemain baru, namun belum dapat mendedahkan butiran lanjut kerana ia masih di peringkat awal.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai perlawanan akhir Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi, Cheng Hoe berkata kurang pengalaman beraksi di pentas besar dan buat kesilapan mudah jadi punca mereka tewas 2-1 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Kita kalah pada malam ini kalah kepada pengalaman di pentas besar seperti ini. Saya rasa pemain bukan gemuruh tapi disebabkan separuh masa pertama permainan sangat berintensiti tinggi dan apabila kita buat beberapa kesilapan, konsentrasi dan keyakinan menyebabkan JDT berjaya menjaringkan gol.

Selepas jaringan itu ia sedikit sebanyak menjejaskan permainan kita.”

Walaupun terpaksa akur dengan keputusan malam tadi, pengendali berusia 54 tahun ini tetap berbangga dengan prestasi kesemua pemainnya kerana telah mempamerkan satu persembahan yang cukup baik.

“Dalam masa dua bulan sebagai jurulatih memang puas hati dari segi peningkatan setiap individu pemain, saya cukup berbangga dengan pemain-pemain tersebut kerana mereka bekerja sangat keras sepanjang musim ini.”