Sukar untuk kami ‘recover’ dalam tempoh 2 hari, tapi JDT akan beri aksi terbaik menentang Borussia Dortmund nanti – Hector Bidoglio

658

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio akui perlawanan persahabatan antara pasukannya dengan kelab gergasi Eropah, Borussia Dortmund adalah satu perlawanan yang penting bukan sahaja kepada kelab tetapi juga kepada bola sepak Malaysia.

“Perlawanan menentang Borussia Dortmund adalah besar untuk JDT dan juga untuk bola sepak Malaysia. Bukan mudah untuk bermain dengan salah sebuah pasukan terbesar di dunia dan kami berasa bangga dapat bermain dengan Dortmund.

Walaupun sukar untuk kami recover dalam tempoh dua hari dari perlawanan malam ini, tapi kami akan pastikan beri aksi terbaik nanti,”

katanya.

JDT akan menentang gergasi dari Jerman itu dalam satu perlawanan persahabatan antarabangsa yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada 28 November ini.


Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai kemenangan JDT dalam merangkul Piala Malaysia pada musim ini, pengendali dari Argentina itu nyata gembira apabila kerja keras seluruh pasukan sepanjang musim ini telah membuahkan hasil.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi, JDT telah mempamerkan aksi yang cukup menarik sekaligus berjaya menumpaskan Selangor FC 2-1 hasil jaringan Bergson da Silva dan Fernando Forestieri.

“Terima kasih kepada bos (TMJ), staf dan semua pemain kerana berjaya menang pada malam ini. Ia bukanlah satu kemenangan yang mudah kerana kesemua pemain bekerja cukup keras untuk berjaya.

Saya sendiri berdepan kesukaran apabila masuk ke JDT pada mulanya kerana kelab ini mempunyai reputasi yang cukup besar dan sentiasa mahukan kemenangan.”

Musim 2022 merupakan musim yang cukup cemerlang buat Harimau Selatan apabila berjaya menyapu bersih empat trofi; Piala Sumbangsih, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Dalam pada itu, Bidoglio berkata pencapaian menakjubkan musim ini akan menjadikan musim depan lebih sukar buat mereka.

“Tahun depan kami akan menghadapi musim yang lebih sukar kerana musim ini kami sudah capai sasaran. Kami perlu rehat sekarang ini dan pada tahun depan kami akan jadi lebih kuat lagi kerana semua pasukan mahu menang dengan JDT.”