Arif Aiman akan korbankan tempoh cuti untuk perbaiki kelemahan dan tingkatkan kualiti permainan
Penyerang muda sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman mengakui masih lagi belum berpuas hati dengan aksinya setakat ini dan merasakan masih banyak yang perlu beliau perbaiki untuk meningkatkan kualiti permainannya.
“Saya tak puas hati lagi dengan persembahan saya. Lepas ini ketika waktu cuti saya akan ambil masa untuk perbaiki kelemahan saya untuk bermain dengan lebih baik pada masa akan datang,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Terdahulu, Arif telah membantu JDT untuk menjulang Piala Malaysia apabila menewaskan Selangor FC 2-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.
“Syukur Alhamdulillah kita menang pada malam ini kerana penting dan macam mana sekali pun kami mahu menang.
Tahun ini amat bermakna buat saya dan saya akan ingat dalam karier bola sepak saya sebab di usia muda seperti saya jarang pemain dapat peluang macam. Jadi saya akan guna peluang ini untuk lebih maju pada masa akan datang.”
Tambahnya lagi, perjalanan dalam dunia bola sepak masih lagi panjang, oleh itu beliau akan terus belajar dan berusaha untuk menjadi seorang pemain berkelas dunia.
Musim 2022 adalah musim yang cukup hebat buat JDT apabila mereka berjaya merangkul empat trofi iaitu Piala Malaysia, Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih.