Saya tak sedih sangat kalah sebab puas hati dengan prestasi semua pemain – Mukhairi Ajmal

362

Pemain muda sedang meningkat naik Selangor FC, Mukhairi Ajmal mengakui tidak berasa sedih atau kecewa dengan kekalahan pasukannya dalam perlawanan akhir Piala Malaysia tadi kerana beliau berpuas hati dengan prestasi kesemua pemain.

“Saya sebenarnya tak sedih sangat kalah sebab puas hati dengan prestasi semua pemain. Mereka sudah beri 100% dan saya bersyukur kerana dapat bermain di pentas final dan ini adalah pengalaman yang amat berharga buat saya dan rakan sepasukan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam perlawanan akhir Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi, Selangor tumpas 2-1 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) sekaligus gagal untuk merangkul kejuaraan buat kali ke-34.


Mukhairi turut berkata beliau berasa cukup bersyukur berada dalam pasukan Selangor walaupun pasukan itu berdepan kemelut prestasi termasuk menukar ketua jurulatih sebanyak tiga kali.

Ini kerana beliau mendapat banyak ilmu ketika bermain di bawah ketiga-tiga jurulatih iaitu Michael Feichtenbeiner, Nidzam Jamil dan Tan Cheng Hoe.

Dalam pada itu, pemain berusia 21 tahun itu juga meluahkan rasa bersyukur apabila namanya tersenarai untuk menyertai kem latihan kebangsaan bagi menghadapi kejohanan Piala AFF 2022.

“Saya rasa bersyukur. Mungkin di liga saya bekerja keras dan ketua jurulatih Kim Pan-gon percaya kepada saya dan beri peluang jadi saya akan beri terbaik untuk dapatkan tempat di Piala AFF nanti.”

Sementara itu, Mukhairi juga berkata pada musim hadapan mereka akan tampil lebih ampuh lagi dan menyasar untuk menjulang sekurang-kurangnya satu trofi pada musim depan.

“Saya memang duduk di Selangor nak julang trofi dan tahun depan kita sasar untuk dapat satu atau dua piala insyaAllah.”