Mana Safawi Rasid sekarang? Ayasa Ueda yang pernah ranapkan impian Harimau Malaya di Sukan Asia, kini cipta sejarah di Piala Dunia 2022

425

Bagi peminat bola sepak Malaysia pasti lagi ingat dan kenal dengan nama penyerang muda Jepun iaitu Ayase Ueda yang pernah memusnahkan impian pasukan Harimau Malaya untuk mara ke pusingan suku akhir Sukan Asia menerusi jaringan pada minit-minit akhir perlawanan.

Ketika itu, skuad negara dibarisi oleh pemain ternama sekarang, seperti Safawi Rasid, Syafiq Ahmad, Akhyar Rashid dan ramai lagi.


Namun selepas empat tahun berlalu, Ueda terus mengorak langkah dengan lebih jauh apabila beliau bukan sahaja beraksi di liga eropah iaitu bersama kelab Cercle Brugge di Belgium, di mana sama liga dengan pemain Malaysia, Luqman Hakim yang beraksi bersama kelab K.V. Kortrijk, tapi namanya juga tersenarai dalam skuad ke Piala Dunia 2022 di Qatar.

Ketua jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu menyenaraikan Ueda dalam skuad Piala Dunia ini atas prestasi cemerlangnya di Jupiler Pro League.

Untuk musim 2022/23, beliau menjadi pemain utama dalam Brugge apabila diturunkan setiap perlawanan iaitu sudah 17 perlawanan dan telah beraksi selama 1,246 minit termasuk menjaringkan tujuh gol.

Sebentar tadi, Ueda telah mencipta sejarah baru apabila diturunkan buat pertama kali dalam perlawanan Piala Dunia menentang Costa Rica di mana pasukannya tewas 1-0.

Walaupun debut Ueda hanya setakat 45 minit sahaja sebelum digantikan dengan Takuma Asano, namun ia merupakan satu lagi pencapaian baru buat pemain berumur 24 tahun itu.

Pencapaian menakjubkan Ueda ini sangat berbeza dengan pemain negara Safawi Rasid yang menyaksikan prestasinya ketika ini semakin menurun sehingga beliau kini bukan lagi menjadi pemain utama di kelabnya, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pertama sekali ucapan tahniah buat Safawi apabila beliau bakal menamatkan zaman bujangnya dengan wanita pilihannya pada awal Disember ini.

Yang kedua, sekali lagi ucapan tahniah buat pemain berusia 25 tahun itu atas kejayaan JDT merangkul Piala Malaysia semalam walaupun beliau tidak tersenarai dalam skuad perlawanan akhir bersama seorang lagi rakan sepasukan iaitu Ramadhan Saifullah.

Biarpun tidak tersenarai untuk perlawanan akhir Piala Malaysia, Safawi dan Ramadhan menjadi dua sahaja pemain JDT yang akan menggalas tugas bersama pasukan kebangsaan selepas 11 pemain JDT lain yang dipanggil tidak dapat menyertai kem latihan tersebut atas alasan urusan peribadi, komitmen keluarga atau masalah kecederaan.

Diharap dengan kehadiran Safawi dalam skuad Harimau Malaya dapat membantu skuad negara untuk merangkul kejuaraan Piala AFF 2022 yang akan berlangsung pada Disember nanti.

Kali terakhir Malaysia menjadi juara Piala AFF adalah pada tahun 2010 yang mana ketika itu dikendalikan oleh Datuk K. Ragagopal.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai prestasi Safawi sepanjang musim ini, prestasi beliau dilihat semakin menurun dan beliau kini bukan lagi menjadi menjadi tonggak utama sebaliknya tempatnya telah diambil oleh pemain muda sensasi, Arif Aiman.

Untuk musim ini Safawi hanya membuat sebanyak 26 penampilan dalam lima kejohanan (Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA dan AFC Champions League) dengan jumlah minit permainan sebanyak 631 minit sahaja.

Safawi juga hanya beraksi dalam kesebelasan utama sebanyak dua kali sahaja dan rekod jaringan beliau juga turun apabila hanya berjaya menjaringkan empat gol sahaja dengan enam bantuan gol.

Berdasarkan situasi semasa, ramai peminat yang mengharapkan beliau kembali mendapat tempat dalam skuad JDT tetapi melihat prestasi luar biasa Arif Aiman, maka tampak sukar buat pemain berasal dari Terengganu itu.

Namun jika beliau gagal dapat tempat, mungkin Safawi boleh mempertimbangkan untuk keluar secara pinjaman atau berhijrah ke pasukan lain berikutan kontraknya akan tamat pada hujung November ini.

Mungkin beliau boleh kembali ke kelab lamanya Terengganu FC atau mana-mana pasukan lain kerana ramai yang percaya Safawi mampu kembali ke prestasi sebenarnya jika beliau terus diberi peluang untuk kerap turun beraksi.