Peminat T-Team dan Kelantan, masih ingat George Boateng?

6,178

Bagi peminat bola sepak Kelantan sudah pasti ingat dengan nama George Boateng yang pernah menjadi ketua jurulatih pasukan itu pada tahun 2014 namun timbul kemelut dalaman yang berlaku dalam pasukan itu.

Perkara itu turut diakui oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa dalam satu kenyataan medianya dengan berkata; “Sebelum ini, pemain-pemain minta tukar jurulatih George Boateng…saya tukar tapi tak menjadi juga.”


Boateng kemudian telah diberikan tugas sebagai Pengarah Teknikal Kelantan pada Mac 2015, tapi selepas dua bulan beliau mengambil keputusan untuk meletak jawatan kerana mahu mengejar cita-citanya sebagai ketua jurulatih.

Ketika itu beliau bukan asing buat peminat bola sepak tempatan kerana beliau pernah bermain untuk pasukan T-Team pada tahun 2012 hingga 2013 yang mana beliau telah membuat sebanyak 15 penampilan dengan menjaringan dua gol.

Beliau datang ke Malaysia dengan reputasi yang cukup hebat sebagai bekas pemain Liga Perdana Inggeris dan pernah beraksi untuk kelab besar seperti Aston Villa, Middlesbrough, Hull City dan beberapa lagi.

Walaupun berlahir di Ghana, namun beliau pernah mewakili pasukan kebangsaan Netherlands B-21 yang mana beliau telah membuat 18 penampilan dari tahun 1995 hingga 1998. Boateng kemudian diserap ke skuad senior pada tahun 2001 yang mana ketika itu dikendalikan oleh Louis van Gaal yang mana beliau telah membuat sebanyak empat penampilan.

Selepas bersara sebagai pemain bola sepak profesional, beliau telah menceburi bidang pundit di saluran sukan BeIN.

Beliau kemudian berhijrah ke England untuk mengendalikan skuad B-13 Blackburn Rovers dari tahun 2018-2019, Aston Villa B-18 dari 2019-2020 dan Aston Villa B-23 dari 2020-2022.

Kualiti kepimpinan yang ada pada Boateng kemudian telah menarik minat Persatuan Bola Sepak Ghana (GFA) yang mahu beliau mengendalikan pasukan kebangsaan Ghana selepas  Milovan Rajevac dipecat.

Bagaimanapun pada Februari 2022, GFA telah melantik Otto Addo sebagai ketua jurulatih interim (sementara) sebelum beliau akhirnya dinaikkan sebagai ketua jurulatih, manakala Boateng pula dilantik sebagai penolong ketua jurulatih pada bulan Mei.

Gandingan Addo dan Boateng telah menyaksikan mereka berjaya membawa pasukan Ghana ke Piala Dunia dan kini mereka sedang beraski di Piala Dunia 2022 di Doha, Qatar.

Dalam perlawanan kedua Kumpulan H yang berlangsung malam tadi, Ghana telah berjaya menumpaskan pasukan Korea Selatan 3-2 dalam satu perlawanan yang cukup dramatik.

Ghana bermula garang apabila terlebih dahulu membuka akaun jaringan menerusi Mohammed Salisu pada minit ke-24.

10 minit kemudian skuad yang diberi jolokan Black Stars ini terus menjarakkan kedudukan menerusi gol Mohammed Kudus pada minit ke-34 sekaligus menamatkan separuh masa pertama dengan kelebihan dua gol.

Namun gergasi dari Asia itu tidak cepat menyerah kalah apabila melakukan serangan bertali arus pada separuh masa kedua dan berjaya merapatkan jurang pada minit ke-58 menerusi Cho Gue-sung.

Selang tiga minit, Korea kembali menggegarkan stadium menerusi jaringan kedua mereka sekali lagi menerusi Gue-sung.

Ketika Korea sedang rancak menyerang, Ghana secara tiba-tiba melakukan serangan balas pantas dan berjaya menjaringkan gol pada minit ke-68 sekali lagi menerusi Kudus yang juga menjadi gol kemenangan mereka.

Sementara itu, dalam perlawanan yang cukup rancak dan panas itu juga telah menyaksikan ketua jurulatih Korea iaitu Paulo Bento menjadi pengendali pertama yang dikenakan kad merah di Piala Dunia edisi ini.

Berikutan kad merah itu, Bento tidak akan dapat mengendalikan anak buahnya dalam perlawanan terakhir kumpulan yang juga merupakan perlawanan paling sukar dan wajib buat mereka menentang Portugal, juga negara kelahiran Bento.