Ini kalilah! Tuah Brazil di bumi Asia akan kembali berulang di Piala Dunia 2022?
Pasukan Brazil sebentar tadi baru sahaja mengesahkan tempat mereka di pusingan 16 pasukan terbaik selepas menewaskan Switzerland 1-0 dalam perlawanan Kumpulan G Piala Dunia 2022 Qatar.
Dalam perlawanan tersebut, Brazil telah mempamerkan corak permainan dominasi apabila melakukan 146 serangan dengan 68 serangan berbahaya.
Bagaimanapun Switzerland juga menunjukkan disiplin bertahan yang cukup kental sehingga menyukarkan penyerang lawan untuk menjaringkan gol.
Pada minit ke-64 Brazil akhirnya menggegar jaring lawan menerusi penyerang berbisa mereka iaitu Vinicius Junior, bagaimanapun kegembiraan mereka tidak bertahan lama apabila pengadil tidak membenarkan gol itu selepas menyemak VAR (video assistant referee).
Serangan bertali arus Brazil akhirnya membuahkan hasil apabila pemain simpanan, Rodrygo melakukan hantaran cukup berkualiti yang disudahkan oleh Casemiro pada minit ke-83 sekaligus mengesahkan tiga mata penuh.
Brazil terpaksa beraksi tanpa bintang terkenal Neymar yang mengalami kecederaan buku lali dan dilaporkan tidak dapat diturunkan dua perlawanan termasuk perlawanan terakhir kumpulan menentang Cameroon nanti.
Untuk Piala Dunia edisi kali ini, Brazil sekali lagi menjadi pasukan pilihan kerana menampilkan skuad yang cukup mantap hasil gabungan pemain senior dan baru yang cukup berkualiti.
Malah, pada perlawanan menentang Switzerland pagi tadi turut dihadiri oleh empat pemain legenda Brazil yang menjulang Piala Dunia 2002 iaitu Cafu, Roberto Carlos, Ronaldo dan Kaka.
Dengan Brazil sudah mengesahkan tempat di pusingan 16, adakah tahun 2022 akan menjadi tahun di mana mereka akan mengakhiri kemarau dua dekad?
Adakah tuah bumi Asia akan sekali lagi menyebelahi skuad Samba kali ini, kerana kali terakhir Brazil menjulang trofi itu adalah di bumi Asia iaitu pada Piala Dunia 2002 yang berlangsung di Korea Selatan dan Jepun.
Terdahulu selepas Brazil menjulang trofi itu pada tahun 2002, pasukan dari Amerika Selatan gagal mempertahankan gelaran juara apabila sekadar layak sehingga ke suku akhir sebelum ditewaskan oleh Perancis 1-0 di edisi 2006.
Empat tahun kemudian pada Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, Brazil sekali lagi dikecewakan pada peringkat suku akhir apabila ditewaskan oleh Belanda 2-1.
Pada Piala Dunia 2014 yang berlangsung di tempat mereka sendiri, Brazil sekali lagi gagal julang trofi berprestij itu apabila gagal tewas di peringkat separuh akhir kepada Jerman dengan keputusan cukup memalukan 7-1.
Malang berganda buat pasukan Brazil apabila dalam perlawanan penentuan tempat ketiga, mereka sekali lagi dikecewakan oleh Belanda apabila tewas 3-0 sekaligus terpaksa berpuas hati dengan tempat keempat.
Ketika Piala Dunia 2018 di Rusia, Brazil sekali lagi mencuba dan berjaya layak ke peringkat suku akhir, bagaimanapun dinafikan oleh Belgium 2-1.
Berdasarkan prestasi mereka dalam empat edisi yang lalu, Brazil selalunya tidak berdepan masalah untuk melepasi peringkat kumpulan dan juga pusingan 16 terbaik, namun cabaran sebenar mereka akan tiba pada peringkat suku akhir.
Mampukah mereka menamatkan badi itu selepas dua dekad? Adakah bumi Asia akan memberi tuah buat Brazil? Sama-sama kita tunggu.