Zii Jia bergerak tanpa jurulatih, pertaruhan merbahaya untuk kekal No. 2 dan layak ke Olimpik 2024
Pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia secara rasmi telah mengumumkan berita mengejutkan tentang perpisahannya dengan bekas jurulatih, Indra Wijaya.
Difahamkan perpisahan tersebut dilakukan selepas kedua-dua pihak mencapai kata sepakat pada sebuah mesyuarat yang diadakan Jumaat lalu bagi membolehkan pemain tersebut dapat mencari pendekatan permainan dan latihan yang baru.
Keputusan ini menggusarkan peminat Zii Jia yang melihat ia sebagai sebuah risiko besar tatkala pemain tersebut perlu kembali mendapatkan rentak kecemerlangannya yang telah pudar berdasarkan aksi pada beberapa kejohanan terakhir yang disertainya.
Tambahan pula, pemain tersebut perlu segera memperbaiki segala kelemahan bagi menghadapi saingan kelayakan Sukan Olimpik 2024 yang bakal bermula pada bulan Mei tahun hadapan.
Pusingan kelayakan tersebut bakal diambil kira bermula di Kejohanan Piala Sudirman 2023 dan akan berlangsung sehingga 28 April 2024.
Ranking pemain yang bakal dikeluarkan pada 30 April 2024 akan menentukan senarai 35 pemain perseorangan lelaki yang bakal melayakkan diri ke temasya sukan tersebut.
Tanpa kehadiran seorang jurulatih, Zii Jia mungkin akan bergelut untuk kembali menunjukkan prestasi terbaiknya dalam masa terdekat.
Terdahulu, beliau telah berjaya melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik 2020 namun tidak berhasil menyumbang sebarang pingat selepas terkandas di pusingan 16 terbaik ekoran daripada kekalahan di tangan bintang China, Chen Long.
Beliau dan pihak pengurusan pasukannya perlu segera mencari seorang jurulatih berkaliber yang mampu melatih dan membawanya untuk pergi lebih jauh terutama sekali bagi melayakkan diri ke temasya sukan terbesar itu yang bakal berlangsung dalam tempoh dua tahun di Paris.
Pada masa yang sama, beliau yang kini berada di kedudukan No. 2 Dunia wajib mencari formula terbaik dalam mengekalkan tempat tersebut serta berusaha untuk mencabar tangga teratas ranking dari pemain Denmark, Viktor Axelsen yang mendominasi pada ketika ini.
Zii Jia pada ketika ini diikuti rapat oleh pemain di tangga kedua dari Singapura, Lok Kean Yeaw serta pemain-pemain ternama lain seperti Jonatan Christie serta Lakshya Sen.
Tahun 2023 akan menghadirkan cabaran baru buat pemain berusia 24 tahun tersebut bagi terus memberi saingan di peringkat tertinggi badminton dunia.
Zii Jia terlepas peluang beraksi di Kejohanan Akhir Dunia BWF tahun ini selepas sekadar berada di kedudukan kesembilan dan tidak berjaya menempatkan diri di dalam kelompok lapan pemain terbaik tahun ini.
Beliau perlu menebus semula kehampaan ini selepas sokongan demi sokongan yang telah dicurahkan oleh seluruh peminat badminton di Malaysia untuk melihat beliau kembali menggegar arena antarabangsa.
Zii Jia sekadar mara ke pusingann 16 terbaik pada kejohanan terakhirnya di Terbuka Australia selepas tewas di tangan pemain perseorangan China, Lu Guang Zo dengan keputusan 22-20, 15-21,16-21.
Meskipun begitu, kecemerlangannya di beberapa kejohanan tahun ini membolehkan beliau tersenarai sebagai calon pemain perseorangan lelaki tahunan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Dalam pada itu, Indra yang sebelum ini bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah meninggalkan badan induk tersebut pada awal tahun ini untuk menyertai pasukan profesional Zii Jia.
Selepas berpisah dengan Zii Jia, Indra kini sah bergelar sebagai ejen bebas dan memutuskan untuk kembali bersama keluarganya di Jakarta buat masa ini.