Zamsaham berminat ambil jurulatih Korea Selatan, Kelantan FC mampu jadi pasukan digeruni musim depan

809

Kelab Pantai Timur, Kelantan FC sehingga kini masih lagi tercari-cari siapakah yang bakal membimbing pasukan itu untuk saingan musim depan selepas tidak mengekalkan Rezal Zambery Yahya.

Pemilik kelab, Norizam Tukiman atau Zamsaham sebelum ini ada menyatakan minatnya untuk mendapatkan bekas ketua jurulatih PJ City FC, P Maniam selepas pengendali berusia 54 tahun itu mengakui berminat untuk melatih kelab itu.


Zamsaham juga mengesahkan sudah menghubunginya untuk berbincang mengenai kedudukan itu, namun masih belum terdapat keputusan yang konkrit daripada perbincangan itu.

Dalam satu perkembangan baru, beliau menyatakan minatnya untuk mengambil ketua jurulatih dari Korea Selatan dan perkara itu mendapat respon positif dari para peminat.

Mungkin beliau tertarik apabila melihat kehebatan yang ditunjukkan oleh beberapa jurulatih daripada negara itu di pasukan kebangsaan Asia Tenggara seperti Kim Pan-gon, Shin Tae-yong dan Park Hang-seo.

Sekiranya Zamsaham betul-betul mahu membawa jurulatih dari Korea Selatan, mungkin lebih sesuai membawa mereka yang pernah mengendalikan pasukan di Asia Tenggara kerana sudah faham akan budaya bola sepak di rantau ini.

Ketika ini, terdapat beberapa nama yang sudah tidak asing lagi dengan bola sepak di Asia Tenggara yang tidak mempunyai pasukan iaitu ketua jurulatih Vietnam, Park Hang-seo dan bekas ketua jurulatih, Lion City Sailors, Kim Do-hoon.

Dari segi pencapaian, tidak dapat dapat dinafikan apa yang dilakukan oleh Hang-seo kepada pasukan Vietnam ketika ini amatlah memberangsangkan.

Beliau berjaya memenangi Piala AFF 2018 serta menikkan ranking Vietnam daripada 134 ke 97 dunia sejak mengambil alih pasukan itu pada tahun 2017.

Bukan itu saja, beliau juga berjaya menerapkan gaya permainan pantas dan hantaran pendek yang menjadi nadi kekuatan pasukan Vietnam.

Kontraknya bakal tamat pada pada Januari 2023 depan selepas Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF) tidak akan menyambung kontrak beliau.

Karier kejurulatihan Do-hoon juga boleh dibanggakan kerana pernah memenangi AFC Champions League (ACL) dan Piala FA Korea bersama Ulsan Hyundai, juga Singapore Premier League dan Perisai Komuniti dengan Lion City Sailors.

Ketika ini beliau masih belum mempunyai kelab baru, dan sekiranya Zamsaham mampu membawa seorang yang berpengalaman memenangi trofi seperti beliau, tidak mustahil beliau mampu membawa kejayaan untuk Kelantan.

Selain dari dua nama itu, seorang lagi jurulatih dari Korea Selatan yang dilihat sesuai dengan Kelantan adalah bekas jurulatih B-23 Korea Selatan, Kim Hak-bum.

Walaupun tidak pernah melatih mana-mana kelab di Asia Tenggara, pengalaman beliau dalam membimbing pasukan muda Korea Selatan sehingga berjaya memenangi Sukan Asia 2018 dan Piala Asia B-23 2020 dilihat sesuai dengan hala tuju Kelantan yang mahu menekankan pembangunan pemain muda musim depan.

Kelantan mempunyai ramai pemain muda berbakat dan dengan sentuhan Hak-bum, pasti ramai bintang yang mampu dilahirkan dari pasukan itu.

Beliau juga ketika ini masih tidak mempunyai pasukan selepas meninggalkan pasukan Korea Selatan B-23 pada September 2021.

Sekiranya Zamsaham akhirnya membawa masuk seorang jurulatih daripada Korea Selatan yang mempunyai reputasi yang baik, Kelantan mampu menjadi salah satu pasukan yang mampu mencipta kejutan musim depan.

Dalam pada itu, Zamsaham sebelum ini mengatakan bahawa kira-kira 60 hingga 70 peratus pemain akan kekal pada musim depan.

Beliau juga menegaskan bahawa pihak pengurusan ketika ini sedang berusaha mempersiapkan pasukan untuk musim depan.