Kim Pan-gon sifatkan ‘result’ bukanlah segala-galanya, persembahan yang ditunjukkan pemain juga harus diambil kira

648

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon menegaskan bahawa keputusan perlawanan bukanlah satu-satunya ukuran buat para pemain tetapi apa yang ditunjukkan mereka di atas padang harus juga diambil kira.

Katanya, pemain harus menunjukkan sikap mahu berjuang dan berusaha dengan sehabis baik di atas padang untuk membanggakan para penyokong.


“Apabila bercakap mengenai sasaran, tipikal untuk katakan nak jadi juara. Kami akan cuba berikan keputusan yang terbaik dan usaha bersungguh-sungguh untuk banggakan penyokong. Saya selalu tekankan bahawa jangan sekadar tengok keputusan saja, tetapi lihat juga kepada persembahan mereka di atas padang.

Dah tentu jika dapat berikan keputusan yang baik itu pasti akan gembirakan mereka, yang penting jangan putus asa dan berikan yang terbaik,”

katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai sasarannya untuk kejohanan Piala AFF bulan depan.

Dalam pada itu, Pan-gon berkata beliau tidak akan mengubah sasarannya untuk kejohanan itu walaupun ramai tonggak utama tidak dapat menyertai kali ini.

Menurutnya, ia seakan-akan memandang rendah kemampuan pemain sedia ada sekiranya sasaran diubah semata-mata disebabkan pemain lain tidak dapat turut serta.

“Apabila kita jemput pemain dan kita tukar sasaran, ia menunjukkan rasa tidak hormat kepada pemain sedia ada.

Sama ada mampu capai atau tidak, apabila kita sertai sebarang kejohanan sudah tentu kita akan cuba dapatkan keputusan yang terbaik, itu adalah tugas saya. Saya hormati pemain yang sahut panggilan dan tidak akan menukar sasaran.”

Mengenai latihan skuad kebangsaan, beliau berkata, pasukan senior akan mengadakan sesi latihan bersama skuad B-23 bermula esok sehingga Jumaat.

Katanya, beliau mahu menerapkan falasafah sama kepada semua skuad bawah umur negara dan berharap sesi latihan bersama ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua skuad.