Hajat lahirkan lebih ramai penyerang berbisa tidak kesampaian, legenda Kelantan Hashim Mustapha meninggal dunia

256

Sebentar tadi dunia bola sepak tanah air telah dikejutkan dengan berita pemergian legenda bola sepak Kelantan dan kebangsaan, Hashim Mustapha.

Hashim dilaporkan telah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 10.25 malam tadi akibat masalah komplikasi kencing manis.


Terdahulu, Allahyarham menderita akibat jangkitan kuman di kaki selepas terjatuh dari motorsikal pada bulan Mac yang lalu sehingga menyebabkan kaki kirinya terpaksa dipotong.

Pada awal November lalu ketika temubual eksklusif bersama Harimau Malaya, beliau ada berkongsi tentang impiannya untuk terus menabur bakti bagi melahirkan lebih ramai penyerang berbisa tempatan serta membangunkan bola sepak negara.

Malangnya, hajat tersebut tidak kesampaian selepas keadaannya menjadi lebih kritikal dan terpaksa ditidurkan sejak beberapa hari lalu.

Hashim cukup terkenal dengan ketajaman beliau di bahagian hadapan selepas muncul pemenang kasut emas Divisyen 1 di era 90-an sebanyak dua kali berturut-turut di dalam saingan liga tempatan meskipun terpaksa bersaing dengan pemain import pada ketika itu.

Rekod jaringannya bersama Kelantan dalam dua musim iaitu 13 gol pada tahun 1993 serta 29 gol pada tahun 1994 membuktikan kredibiliti beliau sebagai salah seorang penyerang tempatan berbisa yang pernah dilahirkan negara.

Selain beraksi bersama pasukan negeri kelahiran, Hashim turut pernah bermain dengan pasukan lain seperti Kedah dan Johor sebelum mengambil keputusan untuk bersara.

Beliau pernah berjaya membantu pasukan Kedah untuk menjulang Piala FA buat julung kalinya dalam musim pertamanya beraksi bersama pemain bintang seperti Radhi Mat Din.

Hashim juga pernah menyarung jersi kebangsaan bermula dari tahun 1987 sehingga 1994 dan pernah beraksi sebanyak sembilan kali dan berjaya menjaringkan satu gol.

Tidak dapat dinafikan, pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar buat bola sepak negara terutama sekali di negeri Kelantan.

Selepas bersara, Hashim telah bergiat aktif di dalam bidang kejurulatihan bermula dengan mengendalikan skuad Piala Presiden Kelantan selama beberapa musim sebelum dilantik menjadi penolong ketua jurulatih skuad utama dari tahun 2010 sehingga 2012.

Tugasan terakhir beliau adalah bersama pasukan Liga M3, Tok Janggut Warriors FC selaku ketua jurulatih kelab tersebut.

Menurut perkongsian keluarga, jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Baung Ayam pagi esok.