Semangat mendiang Papa Bouba Diop jadi azimat, Senegal tebus kekecewaan di edisi Piala Dunia 2018

679

Wakil benua Afrika, Senegal berjaya bangkit dari kekalahan yang dialami pada perlawanan pertama Kumpulan A Piala Dunia 2022 di tangan pasukan Belanda untuk menempah slot ke pusingan 16 terbaik.  

Kejayaan ini diraih selepas mereka berhasil menundukkan pencabar terkuat di dalam kumpulan, Ecuador dengan keputusan 2-1.


Keputusan ini meletakkan pasukan Senegal di tangga kedua Kumpulan A dengan pungutan enam mata dari tiga perlawanan sekaligus melayakkan mereka untuk melangkah ke pusingan kalah mati.

Pada masa yang sama, kemenangan ini juga cukup bermakna buat Senegal selaku hadiah terbaik yang mampu diberikan oleh para pemain sebagai sebuah penghargaan kepada legenda bola sepak negara mereka, mendiang Papa Bouba Diop.

Diop terkenal dengan jaringan yang dihasilkan oleh beliau pada kempen Piala Dunia terbaik yang pernah dilalui oleh Senegal iaitu pada tahun 2002.

Beliau berjaya menjaringkan gol pertama Senegal dalam kejohanan tersebut untuk meraih kemenangan pada perlawanan pertama mengejutkan juara Piala Dunia 1998, Perancis.

Senegal mara sehingga ke pusingan suku akhir pada edisi Piala Dunia 2002 sebelum ditewaskan oleh pasukan Turki dengan kekalahan tipis 1-0.

Diop menghembuskan nafas terakhirnya di usia 42 tahun pada 29 November 2020 ekoran daripada penyakit jangka berpanjangan (long illness).

Pemergian Diop di usia muda bukanlah perkara baru di benua Afrika malah ada beberapa pemain sebelum ini yang turut meninggal di awal usia.

Antaranya adalah Patrick Claude Ekeng Ekeng dari Cameroon yang telah meninggal dunia pada Mei 2016 di usia 26 tahun selepas pengsan di dalam sebuah perlawanan mewakili kelabnya Dinamo Bucuresti.

Dalam pada itu, aksi menentang Ecuador yang berlangsung pada tarikh yang sama di Piala Dunia kali ini nyata menjadi azimat terbaik buat pemain Senegal untuk mempamerkan aksi memberangsangkan sejak wisel pertama permainan dibunyikan.

Semangat juang pasukan di ranking ke-18 dunia ini ditunjukkan oleh kesemua pemain terutama sekali ketua pasukan, Kalidou Koulibaly yang turut mempamerkan nombor 19 pada lilitan kapten yang dipakainya pada perlawanan malam ini.

Nombor tersebut merujuk kepada nombor jersi yang digunakan oleh Diop sewaktu menyarung jersi kebangsaan Senegal bermula dari tahun 2001 sehingga 2008.

Diop yang juga merupakan bekas pemain di Liga Inggeris untuk Fulham, Portsmouth, West Ham dan Birmingham City, telah beraksi sebanyak 63 kali dan berjaya menjaringkan 11 gol sepanjang tujuh tahun mewakili skuad kebangsaan.

Perkara tersebut menjadi pembakar semangat buat pertahanan kental Chelsea, Koulibaly yang muncul sebagai penyelamat pasukan menerusi jaringan yang berjaya dihasikan oleh beliau pada minit ke-70 perlawanan.

Selain Koulibaly, kesemua pemain Senegal berjaya menunjukkan semangat juang yang sangat tinggi menerusi serangan demi serangan yang dilancarkan untuk memastikan mereka meraih kemenangan pada aksi penentu ini.

Jaringan pertama Senegal dicatatkan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Ismaila Sarr pada penghujung babak pertama sebelum disamakan oleh pemain tengah Ecuador, Moises Caicedo di minit ke-68.

Walaubagaimanapun, jaringan tersebut tidak bertahan lama selepas Koulibaly menanduk masuk bola ke gawang gol Ecuador hanya selepas dua minit berselang untuk memberi kemenangan kepada skuad Lions of Teranga.

Kualiti yang dimiliki oleh kesemua pemain Senegal terutama sekali di bahagian pertahanan berjaya menghalang kemaraan pasukan Ecuador yang diketuai oleh penyerang berbisa, Enner Valencia.

Kejayaan ini sekaligus menebus semula kehampaan negara tersebut pada edisi Piala Dunia 2018 selepas mereka terkandas di peringkat kumpulan hanya kerana peraturan ‘fair-play’ yang digunapakai selepas terikat mata dengan pasukan Jepun.

Mereka merupakan pasukan pertama di dalam sejarah Piala Dunia yang disingkirkan menerusi penggunaan peraturan tersebut.

Tidak dapat dinafikan, anak buah Aliou Cisse telah menunjukkan prestasi yang cukup baik meskipun belum dapat menurunkan pemain bintang Bayern Munich, Sadio Mane ekoran daripada kecederaan yang dialami.

Kualiti permainan yang baik ini akan diteruskan oleh para pemain Senegal selepas ini pada aksi 16 terbaik yang dijadual pada 4 Disember ini.